Anak pelarian di Sabah bukan warganegara walaupun miliki surat beranak

Timbalan Menteri Dalam Negeri Aziz Jamman (duduk kiri) berbincang dengan bakal jemaah haji di KLIA.

SEPANG: Anak pelarian Filipina yang memegang pas IMM13 tidak dianggap sebagai rakyat Malaysia walaupun mereka memiliki sijil kelahiran, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Aziz Jamman.

“Jika mereka dilahirkan di Sabah, mereka diberikan sijil kelahiran, tetapi ini tidak menjadikan mereka warganegara,” katanya ketika ditanya mengenai status kanak-kanak pemegang IMM13.

IMM13 adalah pas lawatan yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah berikutan pergolakan di selatan Filipina pada awal 1970-an.

Pemegang IMM13 dibenarkan tinggal di Sabah dan Labuan, serta dapat mencari pekerjaan, menghadiri sekolah dan mendapatkan khidmat perubatan daripada kerajaan.

Pada Oktober tahun lalu, Jabatan Imigresen Sabah menghentikan serta-merta penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak pemegang kad IMM13 di Sabah dan Labuan.

Pada 2014, Jabatan Pendaftaran Negara Sabah berkata sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada kanak-kanak asing yang dilahirkan di Sabah adalah untuk tujuan rekod dan memantau kehadiran mereka, tetapi mereka tidak dianggap sebagai warganegara.

Jabatan itu juga berkata kanak-kanak ini akan dikeluarkan sijil kelahiran merah.

Azis hari ini berkata bengkel yang akan disertai kerajaan negeri Sabah, Putrajaya dan NGO akan diadakan untuk membincangkan secara mendalam status kanak-kanak pemegang kad IMM13.

“Sabah mempunyai banyak dokumen seperti IMM13 dan Sijil Burung-Burung (dokumen yang dikeluarkan kerajaan negeri). Oleh itu, kami ingin melihat bagaimana menguruskan semua dokumen ini.”