Anak saya tak bunuh diri, kata bapa pelajar Malaysia maut di Sydney

Amirul Ashraff Md Azhar memberitahu bapanya, beliau akan pulang ke Malaysia pada Februari depan untuk bertunang dengan teman wanitanya yang turut belajar di Australia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bapa kepada pelajar Malaysia, Amirul Ashraff Md Azhar yang meninggal dunia di Sydney semalam, menolak dakwaan anaknya membunuh diri akibat tertekan kerana gagal 5 subjek.

Md Azhar Hasbullah, 48, berkata kali terakhir beliau bercakap dengan anaknya minggu lalu, Amirul dalam keadaan gembira dan tidak menunjukkan sebarang tanda tertekan dengan pelajaran.

Pesara tentera laut itu berkata, Amirul memberitahu beliau gagal 5 subjek dan perlu membuat rayuan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi mengelakkan tajaannya dibatalkan.

“Tidak, dia tidak tertekan, jauh sekali nak kata sengaja terjun bunuh diri ke apa. (Kematian) arwah tiada kaitan dengan tekanan pembelajaran, kononnya tajaan Mara beliau ditarik ke apa,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

“Masa bercakap dengan dia, dia gembira saja. Masa saya hubunginya sempena ulang tahun kelahiran dia pada 30 Julai lalu, dia juga tidak mengadu ada masalah lain. Kawan sebilik dia juga cakap dia gembira selalu dan suka tolong orang.”

Beliau berkata, anaknya memberitahu beliau sudah menduduki peperiksaan semula dan lulus 2 daripada 5 subjek itu.

“Kami tanya Mara, mereka kata tidak ada masalah kalau tinggal 3 subjek (gagal),” katanya yang berharap semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai pemergian Amirul.

Azhar menambah gagal 5 subjek itu pertama kali buat anaknya.

Difahamkan, Mara hanya akan menarik balik tajaan pelajar yang gagal 4 subjek dan ke atas, selepas menerima rayuan daripada pelajar tajaannya bagi menjelaskan punca kegagalan mereka.

Semalam, Mara dalam satu kenyataan mengesahkan penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Technology Of Sydney, Australia itu maut kerana tergelincir dari tingkat 23 pangsapurinya.

Amirul rancang tunang tahun depan

Azhar berkata, anak sulung daripada 3 beradik itu memaklumkan akan pulang pada Februari depan untuk bertunang.

“Saya pun seronok bila dia (kata) nak balik dan menghitung hari tunggu dia nak balik.

“…teman wanita dia juga belajar di Australia, cuma universiti berlainan.”

Sementara itu, Mara dalam satu kenyataan berkata, maklumat yang diperolehi daripada pihak berkuasa Australia memaklumkan kematian Amirul akibat tergelincir dari bangunan.

Katanya, Mara dengan bantuan Kedutaan Malaysia akan membawa pulang jenazah Amirul secepat mungkin selepas proses bedah siasat.

Sementara itu, Azhar memberitahu Bernama pegawai Mara memaklumkan jenazah Amirul akan dibedah siasat hari ini dan laporan boleh diperolehi dalam 3 hingga 4 hari.

Beliau berkata, jenazah Amirul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Asam Kumbang di Taiping.