NGO selar kerajaan nafi hak pelarian untuk bekerja

PH berjanji untuk meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 PBB dan memberikan pelarian hak undang-undang untuk bekerja. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia Tenaganita mengutuk tindakan kerajaan yang belum membuat keputusan muktamad membenarkan pelarian untuk bekerja di negara ini.

Mengulas mengenai pendedahan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran pada Isnin bahawa Putrajaya belum membuat keputusan mengenai persoalan itu, jurucakap Tenaganita Elise Arya Chen berkata kerajaan sepatutnya sudah lama mengiktiraf manfaat dengan membenarkan pelarian mendapatkan hak kehidupan mereka secara sah.

“Kita harus ambil maklum kajian yang tidak terkira banyaknya menunjukkan negara kita akan mendapat banyak manfaat dengan membantu dan mengiktiraf pelarian,” katanya kepada FMT.

“Pelarian boleh mengisi kekurangan tenaga buruh untuk mengurangkan kebergantungan negara kita kepada buruh asing. Membenarkan mereka bekerja akan meningkatkan ekonomi kita dan memenuhi kewajipan kemanusiaan kita.”

Menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), pelarian boleh menyumbang lebih RM3 bilion kepada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2024 jika mereka boleh membelanjakan sebanyak 40% seperti rakyat Malaysia termiskin.

Badan pemikir itu dalam satu kertas penyelidikan yang diterbitkan pada April, juga berkata, kerajaan boleh mendapat manfaat daripada pengembalian cukai dengan anggaran RM50 juta menjelang 2024 jika pelarian diberikan hak untuk bekerja.

Dengan memberikan akses pendidikan yang sama seperti penduduk tempatan, katanya, ia dapat meningkatkan sumbangan mereka kepada KDNK kepada lebih RM6.5 bilion setahun dan sumbangan cukai melebihi RM250 juta menjelang 2040.

Chen berkata ramai pelarian bekerja secara haram sebagai pembantu rumah di mana mereka tidak dibayar gaji dengan sewajarnya.

Beliau mengecam pengguna internet yang menggesa pelarian dihantar pulang ke negara asal jika mereka tidak mempunyai dokumen kerja, menggelarkan mereka “xenofobia, rasis dan individu yang mengabaikan moral yang dilihat mengambil kesempatan terhadap semua hak asasi manusia, keamanan dan keistimewaan yang kita menikmati”.

Dalam manifesto ketika kempen pilihan raya umum tahun lalu, Pakatan Harapan berjanji untuk meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan memberikan pelarian hak undang-undang untuk bekerja.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), terdapat lebih 170,000 pelarian dan pencari suaka di Malaysia. Daripada jumlah itu, 53.6% adalah Rohingya.