Pelajar Malaysia maut jatuh pangsapuri di Sydney

Penuntut Malaysia di Sydney, Amirul Ashraff Md Azhar. (Gambar Facebook)

IPOH: Seorang pelajar Malaysia dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pangsapuri yang didiaminya di Sydney, Australia semalam.

Amirul Ashraff Md Azhar, 22, penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di University of Technology, Sydney, yang berasal dari Taiping itu adalah pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Bapa Allahyarham, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata beliau menerima maklumat mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dihubungi pegawai Mara dari Australia petang semalam.

“Saya tidak pasti bila jenazah akan dibawa pulang ke negara ini. Pihak Mara akan menguruskannya,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata Amirul Ashraff merupakan anak sulung daripada 3 beradik dan baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-22 pada 30 Julai lepas.

“Pada hari ulang tahun kelahirannya itulah kali terakhir saya berhubung dengan arwah,” katanya.

Md Azhar berkata jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Malaysia selepas selesai semua urusan di Sydney dan akan dikebumikan di Taiping.

Sementara itu, Mara dalam kenyataan malam tadi berkata maklumat yang diperolehi daripada pihak berwajib memaklumkan kematian Amirul Ashraff akibat tergelincir daripada bangunan.

“Pegawai Mara Luar Negara di Australia bergegas ke tempat kejadian sejurus kejadian itu dilaporkan untuk tindakan pengecaman. Pihak Mara mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Mara dengan bantuan kedutaan akan berusaha memastikan urusan membawa pulang jenazah dapat dilakukan secepat mungkin selepas proses bedah siasat dilakukan.

“Mara akan mengurus proses membawa pulang jenazah Allahyarham sehinggalah diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian,” jelas kenyataan itu.