Polis serah laporan perubatan exco Perak didakwa rogol amah pada pendakwa raya hari ini

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya di Meru. (Gambar Facebook)

IPOH: Polis akan menyerahkan laporan kimia dan perubatan yang diterima Isnin lalu berhubung kes seorang Exco Perak didakwa merogol seorang pembantu rumahnya kepada pengarah pendakwaan negeri hari ini.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata laporan itu kemudiannya akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Laporan kimia dan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital telah kita perolehi dan kertas siasatan dibawa kepada pengarah pendakwaan negeri untuk tindakan lanjut,” katanya selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, polis giat mengesan 4 suspek bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kes samun barang kemas kira-kira RM1 juta di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau, di sini pada awal pagi Isnin lalu.

“Kes itu masih dalam siasatan dan kita yakin akan berjaya mengenal pasti semua suspek dalam masa terdekat.”

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, 2 pekerja lelaki dalam lingkungan 30-an yang menaiki 2 kereta dalam perjalanan menghantar barang kemas milik majikan ke Kelantan, dirempuh sebuah lori yang melarikan 4 beg berisi barang kemas itu.