TNB Kuantan rugi RM3.2 juta akibat aktiviti Bitcoin

Aktiviti perlombongan Bitcoin yang melibatkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi mendorong pihak terbabit mencuri bekalan elektrik untuk mengurangkan bil. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Sebanyak 33 premis sekitar Kuantan diserbu Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana disyaki melakukan pengusikan ke atas peti agihan elektrik untuk menjalankan aktiviti perlombongan matawang kripto Bitcoin sehingga TNB kerugian RM3.2 juta.

Pengurus Besar bagi Pemeteran dan Rangkaian Pengedaran TNB Siti Sarah Johana Mohd Said berkata hasil risikan pihaknya mendapati premis tersebut terlibat dalam aktiviti perlombongan Bitcoin sejak 6 bulan lalu.

“Ketika serbuan, TNB berjaya mengumpul bahan bukti daripada 23 premis yang menjalankan akitiviti perlombongan Bitcoin sementara 10 premis lagi berjaya menghidu operasi kali ini (dan) sudah menghapuskan bahan bukti,” katanya kepada pemberita di Wisma TNB Kuantan, semalam.

Serbuan Ops Bitcoin itu bermula 10.30 pagi semalam melibatkan 30 pasukan khas dan 5 anggota Jabatan Perkhidmatan Keselamatan TNB menggunakan waran geledah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Aktiviti perlombongan Bitcoin itu melibatkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi, menyebabkan mereka mencuri bekalan elektrik untuk mengurangkan bil dengan membuat sambungan pintasan daripada peti agihan elektrik secara terus ke dalam premis tanpa melalui meter.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata serbuan pertama TNB di Kampung Jaya Gading mendapati premis Bitcoin itu yang tidak berpenghuni pada masa itu mencatat jumlah arus elektrik tidak bermeter sebanyak 1,500 Amp dan 3 Amp bermeter.

“Seperti yang kita lihat, arus 3 Amp bermeter itu hanya digunakan untuk 1 lampu dan kipas sedutan… mereka bayar bil sebanyak RM219, sementara arus 1,500 Amp tidak bermeter yang digunakan sepatutnya dibayar RM108,000 sebulan,” katanya.

“Tuntutan bayar balik ke belakang akan dikenakan kepada pemilik akaun premis. Banyak pemilik tidak berpuas hati kerana tidak mengetahui aktiviti Bitcoin yang dijalankan di premis mereka,” katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Tenaga menyeru pemilik premis agar memberi perhatian terhadap aktiviti yang dijalankan serta membuat pemindahan akaun sementara kepada nama penyewa.

Mata wang kripto itu membolehkan individu memindahkan nilai antara satu sama lain dan membayar bagi barangan dan perkhidmatan tanpa melalui bank dan sistem kewangan arus perdana, namun ia tidak sah di Malaysia.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti Bitcoin di sekitar kawasan masing-masing untuk menghubungi TNB Careline di talian 1300885454 atau menerusi e-mel [email protected]