Gadis terima pujian Najib nyanyi lagu ‘Malu Apa Bossku’ akui diugut bom ‘C4’

Susulan video “Malu Apa Bossku” yang dicipta gadis cantik Sabah, Nurul Fadzilah Nordin, 34, beliau bakal melancarkan 1 klip video terbaru untuk lagu tersebut dalam masa terdekat.

Video tersebut yang dikongsi bekas Perdana Menteri Najib Razak semalam di laman sosial Facebooknya telah mendapat tontonan hampir 200,000 dan 3,000 komen serta 783 “share”.

Tidak mempedulikan kecaman netizen di media sosial, Fadzilah yang terkenal dengan gelaran Nurfazz akan meneruskan misinya itu pada bulan depan bersama krew produksi di Sabah.

“Saya sebenarnya terkejut bila video itu viral semalam, dan dikongsi pula oleh Najib di Facebooknya.

“Siapa yang tak suka kan bila dipuji? Tapi saya buat video ini sahaja suka-suka dan tak pernah hubungi pegawai Najib sekalipun untuk minta di postkan dalam Facebooknya,” katanya kepada FMT.

Nurfazz sebelum ini artis Bintang Klasik RTM 2014 dan artis Irama Malaysia RTM 2010,mendapat tempat ke-3 dalam pertandingan tersebut.

Dia juga merupakan artis kebudayaan di Sabah.

Bercerita tentang kecaman yang diterima, Nurfazz berkata terdapat seorang netizen yang membuat grafik gambarnya di bahagian tengah serta diapit gambar isteri Najib iaitu Rosmah Mansor.

“Di gambar itu, dia menulis ‘muka nak kena C4’, selain itu ada juga yang kata saya ni lelaki sudah pungut masih lagi nak berlagak.

“Tapi itu semua tidak menjejaskan kerjaya saya sebab untungnya saya hanya bekerja sendiri,” ujarnya lagi.

Dalam 1 klip video yang dikongsi Najib di Facebooknya, pencipta lagu tersebut yang juga penulis lirik dan menyanyikan lagu itu sendiri mendendangkan beberapa petikan lagu tersebut.

“Malu Apa Bossku, kita naik Y-suku, kita lawan fitnah tiga suku.

“Malu Apa Bossku, ramai yang tertipu, akhirnya kini mulai menyatu.

“Malu Apa Bossku, Kita lawan kita radu,” nyanyi Nurfazz dalam rakaman berdurasi 28 saat itu.

Najib yang berkongsi video itu memuji penyanyi itu sebagai “bermuka comel” dan “bersuara merdu”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]