Kementerian kumpul data penerima subsidi petrol bersasar

Saifuddin Nasution Ismail.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang melengkapkan data penerima program subsidi petrol bersasar untuk kumpulan berpendapatan 40% terendah (B40) bagi memastikan hanya golongan yang layak mendapat bantuan itu.

Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata data yang baik apabila tidak ada penerima yang layak tertinggal atau penerima yang tidak layak menerima bantuan itu.

“Kita mesti jelas siapakah kumpulan sasar penerima dan apa kriteria yang melayakkan. Ssemua ini harus dibangunkan dan kumpulan sasaran penerima mesti dikenal pasti dengan tepat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan penyelaras kepenggunaan Parlimen Sabah dan Labuan hari ini.

Pelaksananan program itu antara janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kemudian dibentangkan pada Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guang Eng pada November tahun lepas.

Saifuddin berkata proses pelaksanaan program bantuan ini mengambil masa berikutan tiada data yang tepat untuk diguna pakai.

Beliau berkata program itu tidak dapat dilaksanakan pada suku kedua tahun ini seperti yang dirancang kerana kementerian perlu mengumpulkan data lengkap penerima.

Saifuddin berkata banyak sesi pertemuan dengan pihak berkepentingan diadakan antaranya dengan syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan persatuan pengguna.

Beliau berkata ia turut membabitkan pertemuan dengan institusi penting seperti Bank Negara dan Kementerian Kewangan.