Nigeria: Tentera tembak mati 3 anggota polis

Tentera Nigeria pernah melepaskan tembakan ke arah rakan mereka yang mengiringi pekerja elektrik di Maiduguri selepas menganggap mereka anggota Boko Haram.

MAIDUGURI (Nigeria): Tentera di timur laut Nigeria pada Rabu telah melepaskan tembakan ke arah sepasukan polis yang sedang membawa seorang suspek kes culik ke ibu pejabat, menyebabkan 3 anggota pasukan keselamatan itu dan seorang awam maut, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan media tempatan.

Kesemua anggota polis terbabit, yang bertugas dengan Pasukan Respons Perisikan, sedang membawa suspek dari sebuah pekan di sepanjang Jalan Ibi-Jalingo dalam negeri Taraba apabila tentera Nigeria yang bertugas di pusat pemeriksaan keselamatan melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka, lapor sebuah stesen televisyen tempatan.

Akhbar Punch melaporkan bahawa tentera terbabit telah melepaskan suspek, yang kemudian melarikan diri. Satu siasatan penuh berhubung insiden itu sedang dijalankan.

Suspek dilaporkan berada dalam senarai dikehendaki polis susulan penglibatannya dalam beberapa kes penculikan berprofil tinggi.

Lima lagi orang awam yang turut terperangkap dalam insiden tembakan itu turut mengalami kecederaan.

Jurucakap tentera Nigeria Kolonel Sagir Musa mengesahkan insiden itu dan mengakui bahawa anggota terbabit “tersilap” membunuh 3 polis berkenaan.

“Insiden ini adalah sesuatu yang amat malang dan boleh dielak,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan polis itu tidak berhenti di pusat pemeriksaan keselamatan dan ini telah memaksa pihak tentera melepaskan tembakan ke arahnya.

Terdapat berpuluh-puluh pusat pemeriksaan keselamatan di rantau timur laut yang bergolak susulan keganasan berdekad yang dilakukan kumpulan Boko Haram.

Sesetengan tentera pernah melepaskan tembakan ke arah rakan mereka yang mengiringi pekerja elektrik di kawasan kejiranan Maiduguri, selepas menganggap mereka sebagai anggota Boko Haram.

Maiduguri, ibu kota dan bandar terbesar negeri Borno, merupakan pusat di mana berlakunya pemberontakan Boko Haram pada pertengahan 2017.