Saya bantu siasatan, bukan disiasat SPRM, kata KSU Kementerian Pelancongan

Isham Ishak berkata, beliau perlu menjelaskan kedudukan sebenar bagi membersihkan namanya, keluarga serta kementerian kerana terdapat dakwaan beliau terlibat dalam salah laku sehingga disiasat SPRM. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Isham Ishak berkata beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam untuk membantu siasatan, bukannya kerana beliau disiasat agensi anti-rasuah itu.

Katanya, selaku pegawai kementerian, beliau dipanggil untuk menjelaskan prosedur dan perkara yang berlaku di kementerian itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan ia berkaitan kes apa kerana tidak mahu mengganggu siasatan SPRM.

“Memang benar saya dipanggil SPRM semalam dan ini kali kedua selepas kelmarin (Rabu lalu). Peranan saya hanya membantu siasatan, bukannya disiasat…ia adalah 2 perkara berbeza.

“Saya berikan maklumat yang diperlukan bersama dokumen tertentu, tetapi bagi menghormati proses siasatan, saya tidak boleh jelaskan ia berkaitan kes apa,” katanya pada sidang media hari ini.

Isham berkata, beliau perlu menjelaskan kedudukan sebenar bagi membersihkan namanya, keluarga serta kementerian kerana terdapat dakwaan beliau terlibat dalam salah laku sehingga disiasat SPRM.

Beliau berkata, pegawai SPRM menjalankan sesi itu secara profesional dan membenarkan beliau pulang ke pejabat untuk mempengerusikan mesyuarat.

Katanya, ini kali pertama beliau dipanggil membantu siasatan SPRM sejak berkhidmat dalam kerajaan dan dalam kes berkaitan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, tidak banyak yang dapat beliau lakukan kerana baru dilantik ke jawatan itu Februari lalu.

“Antara lain saya turut menjelaskan langkah yang sudah diambil bagi memastikan perkara berkaitan salah laku tidak berlaku lagi di kementerian.”

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi mengesahkan Isham dipanggil SPRM, tetapi tidak mendedahkan tindakan itu untuk siasatan berkaitan salah laku rasuah atau perkara lain.

Sementara itu, Isham berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap sebuah portal kerana mendedahkan dokumen berkaitan kementerian yang dikategorikan sebagai sulit.

Beliau berkata, selain tidak berasas, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mengakibatkan gangguan kepada pentadbiran negara.

Katanya, beliau sedang mengumpul maklumat dan dokumen lanjut berkaitan fitnah yang mula dikesan disebarkan sejak bulan lalu, sebelum membuat laporan polis.