Wan Ji ditahan kerana berceramah di masjid tanpa permit

Wan Ji Wan Hussin.

GEORGE TOWN: Penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin ditahan pihak berkuasa agama Islam Melaka pagi tadi kerana menyampaikan kuliah di sebuah masjid di negeri itu bulan lepas.

Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan penceramah berkaitan PKR itu, yang terlepas daripada hukuman penjara atas tuduhan menghasut bulan lalu, kerana ceramah di sebuah masjid di Bukit Beruang pada 14 Julai.

Pengarah JAIM, Md Azhan Samad berkata Wan Ji ditahan untuk diambil keterangan kerana mengajar tanpa permit mengikut Seksyen 70 Enakmen Kesalahan Syariah (Melaka) 1991.

Beliau dibebaskan pada 1 petang tadi dengan bon RM4,000.

Wan Ji ketika dihubungi berkata dia mendapat kebenaran daripada pejabat ketua menteri Melaka, dan kehadirannya juga dimaklumkan kepada Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Sofi Wahab.

Wan Ji mendakwa Ketua Penolong Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Rahimin Bani mempunyai hubungan baik dengan pemimpin PAS dan Isma.

“Selepas saya memberi keterangan, tidak pasal-pasal Rahimin menyatakan saya perlu ke mahkamah syariah untuk proses pendakwaan.

“Perkara itu saya maklumkan kepada pejabat ketua menteri dan mereka terkejut….mereka membantu urusan saya sehingga selesai,” katanya.

Ini merupakan kali kedua Wan Ji menghadapi masalah di Melaka.

Pada 21 Julai lepas, sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di sebuah masjid di Durian Tunggal dan meminta dia menghentikan ceramahnya.