2 wanita warga asing didenda, tawar seks kepada anggota polis

Dua wanita warga asing dari Indonesia dan Thailand masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada 2 anggota polis.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,800 ke atas 2 wanita, selepas masing-masing mengaku bersalah menawarkan khidmat sex kepada anggota polis di tempat dan tarikh berasingan.

Dalam kes pertama, Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman denda terhadap Sari Meity Purnama, 45, atau penjara 3 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Sari Meity didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan kepada seorang anggota polis dengan bayaran RM250 di hadapan sebuah premis di hadapan Hotel Ancasa Expres 4, Jalan Pudu, di sini pada 7.30 petang 31 Julai 2019.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Wafa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang menangis semasa rayuan memohon hukuman ringan kerana dia perlu bekerja bagi membiayai kos perubatan ibunya yang kini berada di hospital di Indonesia.

Dalam kes ke-2 di mahkamah sama, seorang wanita warga Thailand, Suriyong Chaphithak, 20, juga didenda RM1,800 atau penjara 3 bulan jika gagal membayar denda, selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama, kepada seorang anggota polis lain dengan bayaran RM210 di Seri Cempaka Apartment Hotel, Level 1, Tower 2, Menara PGRM, Jalan Pudu Ulu, Cheras pada 4.30 petang, 4 Ogos 2019.

Tertuduh yang diwakili peguam M K Thas, merayu hukuman ringan kerana Suriyong mempunyai tanggungan 2 orang adik-beradik, selain mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.