Kertas siasatan exco rogol amah dikembalikan kepada polis

Paul Yong Choo Kiong didakwa merogol wanita warga Indonesia di rumahnya itu di Meru. (Gambar Bernama)

IPOH: Polis menerima kertas siasatan berhubung kes exco Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumah daripada Pengarah Pendakwaan Negeri kali ke-2 untuk siasatan lebih terperinci.

Ketua Polis Perak Razarudin Hussain berkata kertas siasatan itu akan disiapkan dalam tempoh selewat-lewatnya 2 hari lagi.

“Kertas siasatan telah dipulangkan semula kepada pihak polis untuk melengkapkan sedikit lagi keterangan yang ada sebelum dihantar kembali kepada pengarah pendakwaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh dan Pemakaian Pangkat Kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak yang baru, hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan dengan teliti supaya memberi keadilan terhadap kedua-dua pihak yang terlibat.

“Sebab itu kami perlu melengkapkan sedikit lagi siasatan yang tidak boleh didedahkan sebelum dibawa kepada pengarah pendakwaan negeri,” katanya.

Pada 8 Julai lepas, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Terdahulu, Razarudin menyaksikan serah terima tugas ketua polis Ipoh daripada Mohd Ali Tamby yang dinaikkan pangkat menjadi ketua staf Pasukan Khas, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Jabatan Perdana Menteri kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Mohd Nordin Abdullah yang akan memangku jawatan itu.

Razarudin turut memakaikan pangkat kepada Mohd Ali dan Anuar Othman yang dilantik sebagai ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak yang baru.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata polis mengambil keterangan daripada 2 pemandu kenderaan yang membawa barang kemas milik majikan mereka bernilai kira-kira RM1 juta yang disamun 4 lelaki berparang dan bertopeng di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau pada Isnin lepas.

“Ketika kejadian, beg udara kenderaan dinaiki mangsa telah pecah dan keadaan yang gelap menyukarkan mangsa melihat dengan jelas. Mangsa kini masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, polis mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki suspek hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, 2 pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an dalam perjalanan membawa barangan kemas milik majikan menaiki 2 kereta untuk dihantar ke Kelantan sebelum dirempuh sebuah lori dinaiki suspek yang kemudiannya melarikan 4 beg berisi barang kemas itu.