Pelan Halcrow diubah suai alternatif bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) oleh SRS Consortium yang bernilai RM46 bilion digembar-gemburkan tidak boleh menyelesaikan masalah pengangkutan Pulau Pinang, bahkan merosakkan kedudukan kewangan dan menjahanamkan alam sekitar.

Sistem pengangkutan awam alternatif yang terintegrasi berasaskan Pelan Halcrow yang diubah suai boleh dilaksanakan pada kos kurang daripada RM10 bilion.

Sumber dana boleh didapati daripada pembatalan pakej Consortium Zenith (RM6 bilion), penjualan tanah milik kerajaan negeri di Sungai Nibong (RM1 bilion) dan dana persekutuan (RM2 bilion). Oleh itu, tiada alasan untuk melaksanakan Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Apakah alternatif lain?

Alternatif lain ialah menilai semula Pelan Halcrow PTMP dengan sedikit perubahan. Tiga edisi kajian Halcrow yang meliputi kajian lebih 18 bulan menawarkan penerangan terperinci mengenai sistem pengangkutan awam lengkap dengan perbelanjaan dan kos operasi serta penyelenggaraan.

Halcrow mencadangkan rangkaian sistem pengangkutan awam yang merangkumi trem, Bas Rapid Transit (BRT), bas, bas perantara, laluan kereta api dan feri.

– Tiga laluan utama trem sepanjang 60km bermula dari George Town – satu laluan ke Tanjung Bungah di utara, satu laluan ke Bayan Lepas di selatan dan satu laluan ke Ayer Itam/Paya Terubong di barat laut, manakala 2 laluan pendek lain beroperasi di dalam George Town.

  • Tiga laluan BRT – 2 di seberang (satu laluan dari Butterworth ke Machang Bubok, satu lagi laluan beroperasi di Koridor Selatan dari Butterworth ke Simpang Empat), yang ketiga akan beroperasi di Bayan Lepas – Zon FTZ.
  • Satu laluan kereta api dari Pinang Tunggal ke Nibong Tebal.
  • Feri dari Butterworth ke George Town, Butterworth ke Gurney/Queensbay, Queensbay ke Pengkalan Weld.

Jadual 3.1 menunjukkan kos pengangkutan awam berdasarkan jenis dan perbelanjaan. Jumlah kos yang dianggarkan RM9.7 bilion meliputi kos trem bernilai RM5.4 bilion, BRT RM2.6 bilion dan rangkaian kereta api serta feri bernilai RM1.6 bilion.

Manakala jenis perbelanjaan meliputi 77% yang akan dibelanjakan untuk kos infrastruktur, 15% pengangkutan armada (vehicle fleet) dan 8% untuk depot, penyelenggaraan dan penyimpanan.


Sumber: Halcrow, 2012, versi terakhir (Jadual 4.4, muka surat 42)

Jadual 3.2 menunjukkan jenis dan saiz pengangkutan untuk sistem pengangkutan awam yang dicadangkan. Jumlah harga pembelian 534 unit untuk pelbagai jenis sistem pengangkutan awam ialah RM1.45 bilion.

Sistem pengangkutan awam ini akan meliputi 58 trem, 43 BRT, 22 feri, 114 bas perantara. Tiada kos modal untuk 285 bas kerana Rapid Penang sudah memiliki dan mengoperasi 300 bas. Kos tahunan operasi dan penyelenggaraan untuk sistem pengangkutan awam sebanyak RM386 juta.

Perkhidmatan bas, feri dan kereta api boleh dikembangkan tidak seperti semasa kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional.

Jadual 3.2: Jumlah pengangkutan untuk sistem pengangkutan awam
Sumber: Halcrow, Laporan 2 (Jadual 11.5, Jadual 10.8)

Berdasarkan maklumat di atas, kita boleh membandingkan apa yang ditawarkan Pelan Halcrow berbanding pelan SRS.

Secara ringkasnya, kos terkini untuk membina satu laluan Transit Aliran Ringan (LRT) ialah RM10 bilion atau satu Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang seiring laluan LRT (kos terkini ialah RM9.6 bilion) merupakan jumlah kos untuk keseluruhan sistem pengangkutan awam bagi hampir seluruh Pulau Pinang (RM9.6 bilion).

Untuk fasa 1 saja, pakej SRS dan Zenith akan menelan belanja RM23 bilion dan pengangkutan awam dalam pakej ini hanyalah satu laluan LRT. Semua perbelanjaan ini hanya meliputi bahagian pulau dan langsung tiada perbelanjaan untuk bahagian seberang.

Bagaimanapun, sekarang ialah 2019, bukannya 2012. Pelbagai perkara sudah berlaku antara 2012 hingga 2019. Antara yang terpenting ialah Pakatan Harapan kini menjadi kerajaan persekutuan dan kerajaan Pulau Pinang. Kedua, teknologi berubah dengan pantas.

Sistem ART hari ini lebih baik, murah dan pantas. Tiga laluan utama trem dalam Pelan Halcrow sepanjang 60km bernilai RM5.4 bilion. Hari ini, tidak mustahil membina 3 laluan dengan kos RM1.5 bilion menggunakan teknologi Transit Aliran Autonomi (ART) dengan anggaran tertinggi RM24 juta setiap kilometer.

Dengan mengambil kira 2 perkara penting ini, kami mencadangkan Pelan Halcrow yang diubah suai sebagai alternatif. Lihat Jadual 3.3. Di bawah alternatif ini, PIL 1 dan pakej Zenith (termasuk terowong merentas selat) akan dibatalkan, untuk menggantikan Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara, kami mencadangkan teksi perairan, LRT dan monorel digantikan ART.

Akan ada peruntukan dan bajet untuk bas perantara, infrastruktur untuk berbasikal dan pejalan kaki serta memperbaiki jaringan kilometer pertama dan akhir. Kosnya ternyata masih di bawah RM10 bilion.

Jadual 3.3: SRS PTMP vs Alternatif – Pelan Halcrow PTMP diubah suai
Sumber: Diubah suai daripada SRS, Pelan Halcrow dan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)

1. Jaringan ART dan BRT yang baik dibantu sistem perantara akan memperbaiki jaringan kilometer pertama-terakhir. BRT dan ART mudah dilaksanakan di jalan arteri utama, tetapi menyediakan sistem perantara yang baik ialah satu cabaran. Kita mestilah kreatif dalam menyediakan sistem perantara. Bas mini, ojak, basikal park-and-ride, perkhidmatan e-hailing perlu disediakan. Sektor swasta boleh melaksanakan usaha ini.

2. Laluan bas-HOV (kenderaan berpenghuni tinggi) diperkenalkan sepanjang Jambatan Pulau Pinang yang pertama. Laluan sama boleh diperkenalkan di jalan arteri utama di pulau dan seberang pada masa puncak.

3. Penggunaan pengangkitan air yang lebih baik kerana Pulau Pinang dikelilingi air, pelaburan yang lebih perlu dibangunkan untuk memperbaiki pengangkutan air sebagai mod pengangkutan awam. Menambah baik sistem feri rentas selat berbanding terowong patut menjadi keutamaan untuk mengelakkan
kesesakan.

Teksi air patut disediakan untuk menghubungkan bahagian utara dan selatan ke George Town – dari kompleks Beli-belah Queensbay di selatan ke bandar, dan dari Batu Feringghi di utara ke bandar. Jika semua ini dibangunkan, maka tiada keperluan untuk Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (di bawah pakej Zenith).

4. Pelaburan lebih untuk infrastuktur berbasikal dan pejalan kaki kerana sejak 3 tahun kebelakangan ini, Singapura mengambil konsep ini dengan serius dan langkah baik ke arah konsep ini. Kita boleh belajar daripada mereka.

Perkara pertama ialah mengadakan pelan induk berbasikal dengan serius. Untuk mengatasi 2 faktor utama yang menghalangnya, iaitu cuaca panas dan keselamatan ialah menanam lebih banyak pokok di sepanjang jalan dan menyediakan laluan berbasikal yang selamat. Aliran-kontra laluan berbasikal banyak digunakan dengan berjaya di kebanyakan bandar di negara lain.

5. Penguatkuasaan peraturan jalan raya yang lebih ketat kerana sebahagian besar punca kesesakan di Pulau Pinang disebabkan masalah meletak kenderaan sesuka hati dan penguatkuasaan lemah oleh pihak berkuasa tempatan.

Masalah ini sangat ketara di sekitar kawasan sekolah, terutamanya semasa waktu persekolahan tamat. Masalah ini boleh diatasi dengan “penswastaan” sebahagian daripada penguatkuasaan, seperti memberi kuasa kepada pihak swasta untuk menunda kenderaan, tetapi perlu dilaksanakan dengan kawalan dan penyeliaan ketat pihak berkuasa tempatan.

6. Pembangunan seimbang dan mampan kerana kerajaan negeri kerap membincangkan pembangunan seimbang antara pulau dan seberang. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang mempunyai tanah seluas 4,500 ekar di seberang berdasarkan jawapan dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Ini ialah peluang baik untuk melaksanakan polisi ini. Fokus patut diberikan untuk membangunkan Batu Kawan dan kawasan sekitar zon perindustrian berteknologi tinggi kedua di Pulau Pinang. Zon industri baru ini cuma mengambil 15 minit untuk ke bahagian pulau melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pembiayaan

Anggaran kasar kami untuk kos alternatif ini di bawah RM10 bilion seperti dalam jadual 3.3.

Sumber kewangan?

Jadual 3.4 menunjukkan punca sumber kewangan: penjimatan daripada pembatalan projek Zenith, penjualan tanah milik kerajaan negeri di Sungai Nibong dan pembiayaan kerajaan persekutuan.

Kerajaan Pulau Pinang perlu memohon dana RM2.6 bilion, bukan RM10 bilion atau RM20 bilion daripada kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah pengangkutan.

Jadual 3.4: Sumber pembiayaan

Jadual 3.5: Kos Projek Zenith

Sumber: Laporan PAC

Lim Mah Hui adalah bekas profesor, pengurus bank antarabangsa dan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang selama 6 tahun.

Prof Madya Ahmad Hilmy adalah jurutera pengangkutan yang mengajar di Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.