Petronas, Pertamina boleh kerjasama atau bergabung, kata Jokowi

Dr Mahathir Mohamad bersama Jokowi di Masjid Putra, Putrajaya untuk menunaikan solat Jumaat tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata syarikat minyak dan gas Malaysia serta republik itu boleh menjalin kerjasama lebih erat atau bergabung untuk memperluaskan perniagaan mereka.

Ketika ditanya dalam satu wawancara jika beliau mempertimbangkan prospek kerjasama Petronas dan Pertamina, katanya: “(Ia) boleh berlaku. Petronas dan Pertamina boleh bekerjasama atau bergabung menjadi sebuah perusahaan besar dengan kapasiti, modal dan ekuiti lebih besar.

“Dua syarikat ini, saya rasa sudah menjadi adik-beradik. Kita boleh berkembang bersama ke negara lain, mencari sumber minyak bersama dan mengeksport produk hiliran ke negara lain,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pagi tadi yang didahului majlis sambutan rasmi.

Jokowi berkata, Malaysia-Indonesia perlu bekerjasama “secepat mungkin” untuk mencabar keputusan Kesatuan Eropah (EU) menyingkirkan biodiesel berasaskan minyak sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Saya tegaskan sekali lagi bahawa Indonesia dan Malaysia harus bersama melawan diskriminasi terhadap minyak sawit.

“Jika kita tidak bertindak terhadap isu ini, negara lain akan ikut (keputusan EU).”

Pemimpin Indonesia dan Malaysia yang merupakan 2 negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, menghantar sepucuk surat bantahan kepada EU pada April lalu untuk mengkritik keputusan mereka.

Suruhanjaya Eropah pada Mac lalu memutuskan penanaman kelapa sawit menyebabkan kemusnahan hutan besar-besaran dan ia tidak patut dianggap bahan api pengangkutan boleh diperbaharui, walaupun ada beberapa pengecualian.

Jokowi turut menggalakkan industri minyak sawit Indonesia membangunkan sektor hiliran bagi menghasilkan bahan terbitan berasaskan minyak sawit untuk digunakan dalam produk seperti kosmetik dan sabun.

Katanya, Indonesia dan Malaysia boleh menjalin kerjasama dalam bidang berkenaan.