Wow… Kucing jalanan bantu stesen kereta api keluar dari ambang muflis

Siapa sangka hanya kerana seekor kucing mampu merubah nasib sebuah stesen kereta api untuk keluar daripada ambang muflis.

Dan inilah yang berlaku di Jepun apabila seekor kucing ini berjaya membantu menyelamatkan stesen kereta api daripada ditutup buat selama-lamanya.

Kucing yang diberi nama Tama bekerja sebagai “Train Master” di Stesen Kishi di Bandar Kinokawa merupakan hentikan terakhir Landasan Eletrik Wakayama.

Tama dilahirkan di bandar itu pada asalnya dan membesar sebagai seekor kucing jalanan serta sering ditemui berlegar-legar di antara Stesen Kishi dan kedai runcit berhampiran.

Kucing itu dikatakan mula “bekerja” sejak 2007 dan berjaya meningkatkan kadar penggunaan keretapi itu secara drastik.

Selepas pekerja terakhir berhenti pada tahun 2006, Tama merupakan satu-satunya “pekerja” yang tinggal di stesen itu.

Daripada rugi RM16.8 juta kini stesen tersebut mengaut keuntungan lebih RM40 juta

Apabila orang ramai mendengar kisah kucing itu, penjualan tiket kereta api menunjukkan peningkatan yang mendadak sehingga ia digelar “Kesan Tama”.

Selepas Tama menjadi “bintang” utama di Stesen Kishi, semakin ramai orang datang kerana mahu membeli tiket daripada kucing comel itu.

Jika sebelum ini landasan kereta api itu merupakan pengangkutan asas ia kini menjadi destinasi utama pelancongan di Bandar Kinokawa.

Tarikan yang dimiliki Tama membuatkan orang dari seluruh dunia mahu melihat haiwan itu lebih dekat.

Bukan itu sahaja, terdapat kedai cederamata yang menjual pelbagai jenis berkaitan dengan Tama termasuk baju mahupun patung di Stesen Kishi.

Selain itu, penunjung juga boleh membeli set ruang makan yang berkonsep Tama.

Pada tahun 2007, pegawai stesen itu memutuskan untuk memeliharanya sebagai salah satu tarikan pengunjung dan tanpa disedari tindakan mereka itu memberi keuntungan kepada mereka.

Pada tahun 2009, Tama menjadi begitu popular sehingga syarikat kereta api itu melancarkan kereta api khas versi kartun Train Master berkaki empat dan diberi nama Tama Densha.

Pada Januari 2010, Tama secara rasminya dinamakan sebagai Pegawai Operasi Stesen Kishi dan menjadikan haiwan itu kucing pertama dilantik sebagai eksekutif di sebuah syarikat perkhidmatan kereta api.

Kucing comel itu juga diberi tugasan untuk menyambut kedatangan para pelanggan selain diberikan sebuah pejabat kecil dan pakaian seragam yang dipakainya setiap hari.

Stesen itu juga membina sebuah satu struktur pintu masuk utama baru yang menyerupai kepala Tama pada tahun yang sama dan ia menyebabkan peminat kucing itu semakin teruja.

Tama yang “bertugas” sebagai Pegawai Operasi Stesen Kishi turut dibantu 2 kakitangan baru sebagai pembantunya yang juga kucing diberi nama Chibi dan Miiko dalam melakukan tugas seharian.

Dek kerana populariti Tama yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa dia turut menjalani penggambaran dokumentari pertamanya bertajuk La Voie du Chat dalam Bahasa Perancis dan ia juga diterbitkan dalam Bahasa Jerman berjudul Katenlektionen.

Kini, jawatan Tama sebagai Train Master di Stesen Kishi itu digantikan dengan pekerja baharu, Nitama yang mempunyai wajah dan warna bulu mirip dengan Tama.

Tama meninggal dunia pada tahun 2012 ketika berusia 16 tahun dan hampir 3,000 orang hadir upacara pengebumian Tama.

Tama disemadikan di tapak perkuburan kucing berhampiran dan haiwan itu juga memperolehi status dewi Shinto kerana sikap dedikasinya untuk memastikan perkhidmatan kereta api terus maju ke hadapan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]