20% tanah tebus guna PSR untuk rumah mampu milik, kata exco Pulau Pinang

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, pulau pertama PSR akan memakan masa antara 10 dan 15 tahun untuk disiapkan.

GEORGE TOWN: Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada tanah dalam projek tebus guna laut di selatan Pulau Pinang (PSR) akan digunakan untuk meningkatkan stok tanah kerajaan bagi penyediaan rumah mampu milik, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo.

Jagdeep berkata, cadangan itu dibentangkan semasa mesyuarat exco negeri dan ia telah mencapai kata sepakat.

“Pulau pertama PSR akan memakan masa antara 10 dan 15 tahun untuk disiapkan, dan ketika itu jumlah penduduk Pulau Pinang akan meningkat, begitu juga dengan permintaan untuk rumah mampu milik,” katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memerlukan stok yang mencukupi untuk unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah, dan juga rumah mampu milik dalam jangka masa panjang, memandangkan pemohon bagi projek perumahan baru sentiasa meningkat setiap hari.

“Akhirnya kita perlu ada stok rumah yang mencukupi bagi memastikan setiap penduduk Pulau Pinang akan dapat memiliki rumah sendiri, terutama pembeli rumah pertama,” katanya.

Di bawah projek PSR kerajaan negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina 3 pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut untuk mewujudkan tanah bagi membiayai projek PTMP.

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Terdahulu Jagdeep melawat tapak pembinaan projek Iconic Vue, bangunan rumah pangsa setinggi 26 tingkat yang mengandungi 232 unit rumah mampu milik dengan keluasan 78.97 meter persegi, terletak di kejiranan yang tidak terlalu padat di Batu Ferringhi.

Ia dijangka dapat disiapkan pada November ini, dan sehingga kini 228 units berjaya dijual.