Dong Zong rangka petisyen terbaru bantah khat atas alasan agama

Persatuan pendidikan Cina Dong Zong mendakwa kajian beberapa pakar menunjukkan khat digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.

PETALING JAYA: Satu petisyen terbaru terhadap pengajaran khat jawi di sekolah vernakular sedang dirancang oleh persatuan pendidikan Cina, Dong Zong, menurut satu laporan hari ini.

Petisyen itu, yang akan disokong oleh kumpulan pendidikan Tamil, dibuat berdasarkan “penyelidikan beberapa orang cendekiawan dan pakar kesusasteraan” yang menunjukkan bahawa khat digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam, kata pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim.

Dong Zong merupakan nama bagi Persatuan Jawatakuasa Bersama Sekolah Cina.

Beliau dipetik dalam satu laporan Malaysiakini sebagai berkata, tidak boleh diterima sekiranya murid bukan Islam diperkenalkan kepada khat, yang menurut beliau merupakan pelanggaran hak perlembagaan mengenai agama.

Petisyen berkenaan akan menggesa Kementerian Pendidikan supaya mengekalkan pengenalan khat bersama-sama dengan tulisan Cina dan Tamil bagi silibus bahasa Melayu Tahun 5.

Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa rancangan untuk memperkenalkan 6 muka surat pelajaran khat dalam buku teks bahasa Melayu Tahun 4 tahun depan telah dikaji semula. Ia kini hanya mengekalkan 3 muka surat dan menjadikan pelajarannya satu pilihan.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik menafikan langkah memperkenalkan khat sebagai satu bentuk Islamisasi.

Sementara itu pemimpin politik seperti Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, khat merupakan satu kesenian dan tidak bersifat keagamaan.