Gajah liar musnah tanaman, ancam kampung Orang Asli di Gua Musang

Penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang berkata, mereka tidak berani keluar malam sejak 3 hari lepas berikutan kehadiran gajah liar di situ. (Gambar Bernama)

GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5 di sini, bimbang dengan keselamatan mereka, berikutan dakwaan ancaman seekor gajah jantan liar yang berkeliaran berhampiran kediaman mereka sejak 3 hari lalu.

Penduduk mendakwa kehadiran gajah liar itu turut memusnahkan tanaman pisang dan anak pokok getah yang diusahakan sejak 2 tahun lalu, sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli (MPKOA) Kampung Aring 5, Asrul Husin, 24, berkata, masalah ancaman gajah liar bukan perkara baru yang dihadapi penduduk.

“Kebanyakan penduduk mengusahakan tanaman pisang sebagai punca utama pendapatan mereka dan sering kerugian kerana diancam gajah liar.

“Ia merupakan kejadian ke-2 pada tahun ini membabitkan gajah liar dengan kes pertama pada Mac lepas, menyebabkan ratusan tanaman pisang yang diusahakan penduduk musnah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Aring 5 di sini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Syaimi Ab Hadi, 39, berkata, penduduk tidak berani keluar malam sejak 3 hari lepas selepas mendapati kehadiran gajah liar tersebut.

Beliau berkata, penduduk percaya gajah liar berkenaan berlindung di hutan berhampiran dan keluar mencari makan di kawasan perkampungan itu pada pukul 1 pagi dan masuk semula ke hutan pada pukul 5 pagi.

“Penduduk mengalami kerugian besar, bukan sahaja hilang hasil pisang, tetapi juga pokok getah yang perlu ditanam semula.

“Kami juga sudah laporkan perkara itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gua Musang dan berharap agar tindakan segera dapat diambil, kerana bimbang gajah itu akan serang penduduk pula,” katanya.