Kita gagal kerana Kementerian Pendidikan salah keutamaan, kata Daim

Daim Zainuddin.

PETALING JAYA: Malaysia gagal kerana kerajaan, melalui Kementerian Pendidikan, salah keutamaan dengan tidak memberi tumpuan kepada Revolusi Industri ke-4 (IR 4.0), kata pengerusi majlis penasihat kerajaan, Daim Zainuddin.

Bercakap pada satu persidangan antarabangsa mengenai isu dasar awam di Institut Pengurusan dan Dasar Awam Universiti Awam beliau berkata, Malaysia perlu melalui ekonomi berasaskan pengetahuan untuk mengambil bahagian dalam IR 4.0.

Bagaimanapun beliau kesal kerana negara masih berdebat sama ada subjek Matematik dan Sains harus diajar dalam bahasa Inggeris sedangkan dunia memberi perhatian kepada usaha memperkenalkan “kurikulum lanjut” yang menumpukan IR 4.0.

Katanya, ini menyebabkan generasi muda mereka lebih kompetitif dan relevan dengan dunia yang akan didominasi oleh kepintaran buatan dan robotik pada masa depan.

“Sewaktu kita masih lagi bergelut dengan retorik politik mengenai bahasa, orang lain di sekeliling kita telah bergerak melampaui bahasa Inggeris atau Mandarin atau bahasa Melayu ke bahasa pemrograman dan pengekodan.

“Bilakah kita akan sedar betapa tertinggal dan kurangnya kita?”, katanya dalam ucapan yang diterbitkan dalam edisi cetak akhbar The Edge minggu depan.

Untuk rekod, pemrograman dan pengekodan kini diajar kepada murid Tahun 6 yang mengambil subjek ICT. Dari tahun 2020, subjek pengekodan akan diajar kepada murid Tahun 4, 5 dan 6.

Pengekodan kini diajar kepada murid menengah rendah (subjek Asas Sains Komputer) dan sekolah menengah atas (subjek Sains Komputer).

Membangunkan kemahiran manusia yang sesuai

Daim berkata, banyak perkara yang perlu diambil kira dalam mempersiaplkan golongan muda untuk masa depan, seperti bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memperbaiki kehidupan manusia atau mengenal pasti “kemahiran unik manusia” yang boleh dibangunkan untuk masa depan di tempat kerja.

“Dengan bertanyakan soalan yang betul dan menimbangkannya dalam penggubalan dasar, kita boleh mencipta persekitaran yang membolehkan manusia memaksimumkan potensi mereka dan meneroka usaha kreatif yang disokong oleh teknologi, bukan digantikan olehnya.”

Beliau berkata, terdapat pihak yang menyalahkan orang asing kerana mengambil pekerjaan mereka, sedangkan realitinya teknologi akan memberi kesan ke atas banyak pekerjaan pada masa depan apabila robot menggantikan manusia bagi pekerjaan remeh.

Bagaimanapun katanya, keadaan baru juga akan membuka peluang baru, dengan merujuk kepada bidang seperti robotik, rantaian perbekalan logistik dan data raya masih memerlukan pekerja mahir apabila teknologi berkembang.

“Justeru soalannya ialah ‘sama ada kita di Malaysia bersedia untuk membuat loncatan itu?’. Mari kita bersikap jujur, kita belum bersedia. Malah kita langsung tidak bersedia.

“Kita masih lagi mengejar latihan dalam IR 4.0 sedangkan orang lain sudah bersedia untuk revolusi industri ke-5.”

“Pendidikan jiwa” tidak harus diketepikan, tambahnya, dengan berkata, generasi pemimpin dan pemikir baru, “bukan kambing dan pengecut”, yang mampu berfikir secara kritis dan logik, mesti dibina.

“Bermoralkah jika kita mengajar pelajar kita bahawa pelajar lain tidak berhak mendapat keistimewaan tertentu hanya kerana mereka bukan daripada kaum tertentu walaupun keadaan ekonomi mereka tidak baik?”, soalnya.

“Bolehkah kita menerima pandangan bahawa jika anda daripada kaum yang lebih berjaya dari segi ekonomi, maka anda boleh memandang rendah orang lain?”

Daim juga berkata, walaupun reformasi pendidikan merupakan sebahagian daripada agenda Pakatan Harapan, namun “kadar perubahan yang terlalu perlahan” memberi “justifikasi kepada keluhan dan keresahan yang menganggap keazaman politik yang ada untuk menggerakkan perubahan itu sangat rendah”.