Lelaki Britain mati dalam tandas hotel di Putrajaya

Polis mengklasifikasikan kematian warga Britain di bilik hotel Putrajaya sebagai mati mengejut.

KUALA LUMPUR: Seorang pembimbing program kepimpinan warga Britain ditemui meninggal dunia di dalam tandas bilik sebuah hotel di Presint 1, Putrajaya, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Putrajaya S Vijaya Rao berkata polis dimaklumkan mengenai penemuan lelaki berusia 56 tahun itu oleh penyelia hotel berkenaan pada jam 4.51 petang.

Beliau berkata rakan mangsa yang menginap di hotel sama meminta kakitangan hotel membuka pintu bilik mangsa selepas lelaki berkenaan tidak menjawab panggilan telefon dan pesanan WhatsApp.

“Mangsa menginap di hotel tersebut sejak Ahad lalu kerana menghadiri satu program kepimpinan selama 5 hari dan mangsa merupakan pembimbing kanan program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata tiada elemen jenayah dalam kejadian ini dan polis turut menemui alat penyukat tekanan darah serta ubat-ubatan dalam kuantiti yang banyak di dalam bilik mangsa.

“Bagaimanapun, bedah siasat akan dibuat bagi mendapatkan punca kematian mangsa,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut, buat masa ini, diklasifikasikan sebagai mati mengejut.