Lelaki maut akibat rabies selepas rahsia sejarah digigit anjing

Pemilik anjing membawa binatang peliharaan mereka untuk mendapatkan vaksin rabies. (Gambar Bernama)

KUCHING: Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang lelaki berumur 46 tahun meninggal dunia akibat rabies, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 20 orang di Sarawak sejak wabak itu bermula 2 tahun lalu.

Ujian makmal di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan lelaki dari Padawan itu meninggal dunia Rabu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki itu dipercayai digigit anjing pemberian rakannya dari Kuching di belakang tangan kanannya pada 15 Jun lalu.

“Ia berlaku ketika dia cuba menangkap anjing itu yang dijumpai merayau di luar kandangnya. Anak perempuannya yang berusia 8 tahun itu juga digigit anjing yang sama pada hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu dan anaknya membersihkan luka mereka di bawah air mengalir selama 15 minit.

Lelaki itu kemudian membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan sebelum dia dirujuk ke Hospital Umum Sarawak, katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu doktor bahawa dia juga digigit.

“Dia mula mengalami demam, sakit kepala dan kelesuan dan mendapatkan rawatan dari 2 klinik kesihatan pada 31 Julai dan 2 Ogos tetapi tidak memaklumkan pihak klinik tentang sejarah dia digigit anjing,” katanya.

Noor Hisham berkata lelaki itu hanya memaklumkan pihak kesihatan mengenai gigitan anjing itu selepas dia dimasukkan ke SGH apabila keadaannya bertambah teruk.

Ketika itu, lelaki terbabit sudah mengalami keadaan agresif, hidrofobia, aerofobia, demam, sakit kepala dan lemah tangan kanannya.

“Anak perempuannya berada dalam keadaan baik dan masih dalam pemerhatian,” katanya.

Kementerian itu menasihatkan orang ramai supaya tidak menerima atau mengambil mana-mana haiwan yang tidak diketahui status vaksin rabies.

Mereka yang digigit haiwan berkenaan dinasihatkan membasuh luka mereka di bawah air mengalir selama 15 minit sebelum mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital kerajaan.