Islamofobia jadi alat propaganda bukan Islam, kata Zakir Naik

Zakir Naik (3 dari kanan) menerima anugerah Tokoh Daei Ummah dari Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob (2 dari kanan). (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik berkata pergaduhan sesama negara Islam hanya menguntungkan orang bukan Islam untuk menguasai sesebuah negara.

Beliau berkata salah satu lahirnya Islamofobia adalah kerana sesebuah negara berkuasa mahu menjadikannya sebagai alat untuk kepentingan mereka sendiri.

“Ini dapat dilihat dalam media antarabangsa seperti di surat khabar, majalah, internet dan media sosial mengenai propaganda terhadap negara Islam,” katanya di depan 100,000 pengunjung di program Pidato Perdana Perpaduan Ummah di Stadium Muhammad 1V, Kota Bharu, Kelantan.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa.

Zakir berada di Kelantan di atas jemputan khas kerajaan negeri Kelantan sempena program Jelajah Dakwah 2019 yang bermula pada 7 hingga 10 Ogos.

Zakir juga berseloroh walaupun tidak memahami bahasa Melayu, tetapi yakin tidak ada Islamophobia di Kelantan berdasarkan tauladan ditunjukkan menteri besar Kelantan sepanjang siri jelajahnya di negeri itu.

Mengulas lanjut, Zakir mendakwa komuniti Uighur di China paling teruk ditindas pada masa ini, sedangkan rata-rata negara Islam berdiam diri dengan bentuk diskrimanasi terhadap minoriti Islam di negara itu.

Beliau berkata, ketidakadilan berlaku apabila 37 negara mengatakan China sedang melakukan perkara yang betul dan anti keganasan.

“Jika ada mana-mana umat Islam menghadapi masalah, itu adalah salah anda dan kita kena membantu mereka.

“Kita boleh berdiam diri tetapi kita dalam diam telah menyokong etnik itu ditindas,” katanya yang menggesa semua negara Islam bersatu dan tidak bergaduh sesama sendiri.

Zakir juga berkata etnik Uighur dipaksa keluar daripada agama Islam dan mengikut agenda komunis China.

“Muslim di China berbeza dengan di Palestin. Di Palestin, walaupun ada penindasan, tetapi mereka masih boleh sebut Allahuakbar dan boleh berpuasa.

“Di China, komuniti Uighur tidak boleh berpuasa, dipaksa minum alkohol dan tidak boleh belajar Al-Quran,” katanya.

Sebelum itu, Zakir dianugerahkan Tokoh Daei Ummah yang disempurnakan Ahmad sendiri.

Ahmad berkata anugerah itu diberikan kepada Zakir atas sumbangan beliau menyebarkan dakwah Islamiah dipersada antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Ahmad meminta rakyat Kelantan bermunajat dan berdoa kepada Allah agar urusan pembayaran royalti minyak kepada negeri itu ditunaikan.