Toyota Vellfire sering diguna Hadi hilang, kata pemilik

Bendahari Dewan Ulama PAS Muhammad Ismi Taib berkata, kereta Toyota Vellfire miliknya diberikan untuk kegunaan Abdul Hadi ketika berada di Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bendahari Dewan Ulama PAS Pusat Muhammad Ismi Taib mengesahkan kereta Toyota Vellfire miliknya yang sering digunakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sewaktu berada di Kuala Lumpur hilang.

Muhammad Ismi berkata, kehilangan kereta berkenaan dengan plat bernombor RX 8409 disedari pada Isnin dan sejurus kejadian beliau membuat laporan polis di Balai Polis Chow Kit.

“Betul, itu memang kereta saya. Kadang-kadang saya pakai dan kadang-kadang dia (Abdul Hadi) pakai. Hilang tidak sampai seminggu lepas. Hilang pada hari Isnin, saya sudah buat laporan polis di Balai Polis Chow Kit.

“Kereta itu hilang di Kota Damansara, di rumah penginapan. Kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam, apabila bangun pagi kereta sudah tidak ada,” katanya kepada FMT.

Sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas dan perkembangan lanjut daripada polis berhubung kehilangan kereta berkenaan.

Muhammad Ismi Taib. (Gambar Facebook)

Muhammad Ismi berkata, kehilangan kereta itu bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan program Abdul Hadi, memandangkan beliau memiliki kenderaan lain sewaktu berada di kawasan Parlimennya, Marang.

“Hadi di Terengganu, dia ada kereta di Terengganu. Kegunaan kereta itu hanya di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya mengapakah beliau memberikan kereta miliknya itu kepada Abdul Hadi, Muhammad Ismi berkata, ia adalah tanda dan kasih sayangnya kepada presiden PAS itu dalam membantu perjuangan parti.

“Saya bagi dia (Abdul Hadi) pakai, tidak ada tujuan lain sekadar berkhidmat kepadanya. Tidak harapkan sebarang pulangan. Saya berikan sebagai tanda kasih dan sayang pada presiden PAS,” katanya.