5 cara pilih cempedak isi meriah elak ditipu penjual

Mesti ada di antara kita yang pernah “kena” beli sebiji cempedak dengan harapan nak goreng untuk minum petang sekali isi di dalamnya tidak seperti yang diidamkan.

Dengan harga cempedak lebih kurang RM6-RM10 sekilo, sebiji buah cempedak boleh cecah RM20.

Hendak beli yang siap digoreng pun bukannya senang nak jumpa.

Bila teringin, terpaksalah juga beli buahnya untuk dimasak sendiri dekat rumah.

Kebanyakan kita mungkin tak tahu cara pilih cempedak yang betul.

Ini antara tips yang dapat membantu kita memilih cempedak yang elok dan banyak isinya.

1. Tengok “mata” kulit

Antara pesan paling popular yang mak-mak kita pesan ialah kena perhati pada kulitnya.

Kena pilih yang “mata”nya tumpul-tumpul, besar-besar dan jarang-jarang, barulah isi dalam tu banyak.

Jangan pilih yang “mata”nya tajam-tajam dan rapat-rapat, itu bermaksud jerami dia yang banyak.

2. Rasa kulit empuk

Selain tengok pada “mata” kulit tadi, kita juga boleh tekan kulit cempedak perlahan-lahan untuk merasa isi dalamnya.

Kalau masih keras atau tak berapa boleh ditekan, ia menandakan buah masih muda.

Jadi pilihlah buah cempedak yang bila ditekan, kulitnya lembut dan seakan empuk.

3. Kulit kekuningan, tangkai coklat

Satu lagi tips pilih cempedak kita boleh tengok pada warna kulitnya.

Cempedak yang dah masak dan matang warnanya kuning dia nampak lebih dominan.

Kalau cempedak yang dijual masih banyak warna hijaunya berbanding warna kuning, jangan pilih sebab di dalamnya masih muda.

Boleh tengok warna tangkainya juga. Kalau dah berwarna coklat, maksudnya isinya dah masak.

4. Bau wangi

Macam durian, cempedak ni memang wangi. Yang masih separuh matang pun biasanya dah mula berbau wangi.

Tapi bezanya, cempedak yang dah betul-betul masak ni aromanya lagi menyengat dan wangi.

Jadi pilihlah yang betul-betul harum dan wangi. Barulah manis dan boleh makan terus.

5. Yang berat lebih selamat

Antara kesilapan yang mungkin kita buat masa beli cempedak ini ialah nak beli yang kecil atau ringan sebab nak jimat. Takut mahal bila ditimbang nanti.

Tapi kena hati-hati sebab buah yang ringan mungkin tak berisi. Kempunan dibuatnya nanti.

Jadi, lebih selamat ambil yang berat barulah kurang kebarangkaliannya untuk dapat isi yang kosong.

Kulit cempedak pun boleh makan

Selain isi ulas buah cempedak, bahagian empulur dan kulit buah cempedak boleh dimakan.

Jadi janganlah terus buang kalau dapat yang sikit isi buahnya.

Kulit buah cempedak boleh dibuat masak lemak, jeruk atau Mandai.

Mandai ni sedap kalau digoreng bersama cili dan bawang.

Orang kata memang sedap kulitnya, rasanya lemak-lemak manis.

Yang tak pernah cuba, bolehlah cuba.

Sumber Siraplimau.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]