Bubble Tea: Bahaya boba tersangkut dalam usus

Menjadi lumrah masyarakat kita untuk mengikut trend semasa.

Daripada gajet, fesyen, makanan atau minuman, sudah pasti kita tidak mahu ketinggalan.

Kini, fenomena air minuman teh boba atau bubble tea sedang hangat menjadi buah mulut orang ramai.

Anda boleh menemuinya di mana-mana sahaja sama ada di pasar raya atau pasar malam kerana banyak kedai yang menjualnya ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Bukan itu sahaja, ia juga sebenarnya hadir dalam pelbagai variasi.

Bagi anda yang bukan penggemar teh susu, anda boleh memesan teh o.

Atau jika anda bukan penggemar teh, anda boleh memesan air selain teh seperti kopi, mocha, hazelnut atau jus, bergantung kepada cita rasa anda.

Apa itu bubble tea?

Bubble tea adalah air minuman berasaskan teh daripada Taiwan yang dicipta di Tainan dan Taichung pada abad ke-90.

Resepinya mengandungi teh, susu atau gula (opsyenal).

Paling penting, ia semestinya mengandungi bebola ubi kayu (boba) atau ia juga boleh digantikan dengan jeli atau puding.

Selain itu, ada juga versi teh boba sejuk beku jika anda merupakan penggemar ice-blended.

Terdapat dua kategori teh boba iaitu teh dengan susu (teh susu) atau teh tanpa susu (teh o).

Kedua-duanya datang dengan teh pelbagai warna seperti teh hitam, teh hijau atau teh oolong serta didatangkan dengan pelbagai perisa seperti buah-buahan dan lain-lain.

Susu di dalam teh juga boleh divariasikan dengan penggunaan susu sejat, susu pekat, susu cair, susu tepung atau susu segar.

Di Eropah dan Amerika, teh ini biasa dicampurkan dengan krimer.

Teh boba popular di Taiwan pada sekitar abad ke-90 tetapi, penciptanya sehingga kini masih lagi misteri.

Dikatakan teh boba yang paling tertua terdapat di Taiwan.

Ia menggabungkan teh hitam Taiwan, boba, susu sejat, sirap dan madu.

Selepas itu, ia mula bervariasi mengikut peredaran masa.

Lama-kelamaan, boba yang besar mula digantikan dengan boba yang lebih kecil untuk memudahkan individu memakannya.

Namun begitu, mungkin ada dalam kalangan kita yang gusar mengenai boba ini. Antara persoalan yang sering diutarakan mengenainya adalah:

  • Apakah bahan asal boba?
  • Bagaimanakah cara pembuatan boba?
  • Adakah ia selamat untuk ditelan?
  • Adakah ia halal untuk dimakan?

Sedikit sebanyak mengenai boba

Mungkin ada antara anda yang belum tahu, boba sebenarnya sejenis kanji yang diperbuat daripada ubi kayu.

Ia adalah bebas daripada gluten dan biasanya dicampurkan dengan gula merah untuk mendapatkan rasa manis, dan ini menerangkan mengapa warnanya yang hitam dan gelap.

Teksturnya adalah sangat lembut dan rasanya juga akan menyerap rasa minuman.

Walaupun terdapat banyak debat dan kekeliruan mengenai asal usulnya, boba dipercayai berasal dari Hanlin Teahouse di Tainan, Taiwan.

Pemilik kedai itu, Tu Tsong-he, buat kali pertamanya memasarkan minuman ini dengan boba yang berwarna putih pada tahun 1986.

Lama kelamaan, beliau mula menukar boba ini kepada warna hitam seperti yang terdapat pada hari ini.

Persoalan utamanya adalah, adakah ia menyihatkan? Sebenarnya ia bergantung kepada minuman itu sendiri.

Sama seperti kebanyakan minuman kopi dan teh, kandungan nutrisinya akan bergantung kepada penyediaannya.

Kebanyakan minuman boba adalah kaya dengan gula, karbohidrat dan kalori.

Jika anda bimbang akan kandungan gula dalam darah anda, anda seharusnya mengurangkan pengambilannya.

Untuk pengetahuan anda, ubi kayu itu sendiri sebenarnya memang mempunyai nutrisinya yang tersendiri.

Namun, disebabkan ia telah dicampur dengan pelbagai air minuman, nutrisinya itu tadi telah terbendung.

Ketahuilah anda bahawa 16 auns boba di dalam teh atau apa-apa sahaja minuman lain boleh membawa 50 gram karbohidrat, 40 gram gula dan 240 kalori.

Menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh University Hospital in Aachen, Germany mendedahkan bahawa boba mungkin mengandungi carcinogen di dalam bentuk polychlorinated biphenyls (PCBs).

Bagaimanapun, ada yang mempersoalkan keputusan kajian ini berdasarkan kepincangan dalam metadologi kajian ini yang agak meragukan.

Pendek kata, boba ini adalah bebola ubi kayu yang dicampurkan di dalam minuman seperti teh atau pelbagai lagi minuman lain untuk dijadikan sebagai “popcorn”di dalam minuman itu.

Namun, tahukah anda bahawa sebenarnya selain bebola ubi kayu, terdapat pelbagai lagi jenis boba yang lain?

Jenis-jenis boba di dalam minuman

1. Bebola ubi kayu

Ini adalah jenis yang paling biasa ditemui di kebanyakan kedai yang menjual bubble tea.

Bahan utama pembuatannya adalah ubi kayu yang telah direbus dan dicampur dengan gula merah atau madu untuk mendapatkan rasa manis.

Rasanya yang manis dan teksturnya yang lembut menjadikannya sangat seronok untuk dikunyah semasa meminum air sebegini.

2. Puding

Anda tidak seharusnya membayangkan boba daripada puding yang digunakan sebagai snek.

Puding di kedai air minuman boba adalah lebih seperti kastard yang diperbuat daripada kuning telur, krim dan gula.

Pun begitu, ia adalah lebih pejal ekoran penambahan gelatin. Ia sangat lembut dan sedap untuk dimakan lebih-lebih lagi jika ia dicampurkan di dalam teh yang ditambah dengan susu atau krimer.

3. Cincau

Anda tidak perlu risau kerana rasanya bukanlah seperti rumput kerana ia memang bukan diperbuat daripada rumput.

Ia diperbuat daripada mesona, tumbuhan yang berada dalam kumpulan pudina.

Cincau biasanya disalutkan dengan gula merah atau herba yang mempunyai rasa yang unik.

Ia biasa dipotong di dalam bentuk kiub dan teksturnya adalah lebih pejal berbanding puding.

4. Lidah buaya

Lidah buaya adalah sangat kaya dengan antioksidan dan sangat bermanfaat untuk kulit anda, mencampurkannya dalam minuman anda pasti merupakan idea yang baik.

Jeli yang jernih dan lutsinar ini sangat sesuai untuk dicampurkan ke dalam minuman kerana ia akan menghasilkan rasa yang sedap dan menyegarkan.

Namun, ia lebih sesuai dicampurkan ke dalam minuman yang mempunyai rasa tropikal seperti minuman sitrus terutamanya minuman buah-buahan.

5. Sagu

Sagu mempunyai rasa yang lebih kurang sama seperti boba.

Teksturnya juga adalah kenyal, tetapi lebih lembut daripada bebola ubi kayu.

Bahan ini sebenarnya sangat popular di dalam pencuci mulut di Asia dan sangat sesuai dipadankan dengan perisa kelapa, kacang merah dan matcha.

6. Bebola taro

Berbeza dengan boba yang mempunyai tekstur yang kenyal ketika dikunyah, bebola taro adalah lebih lembut dan akan cair di dalam mulut.

Bahan asalnya adalah buah taro yang telah dicampurkan dengan tepung ubi dan air untuk membentuknya seperti bebola.

Di Taiwan, bebola ini selalunya dimakan di dalam mangkuk sebagai pencuci mulut sama ada secara sejuk atau panas. Ia sangat sesuai dicampurkan ke dalam teh susu atau teh oolong.

7. Bebola kacang merah

Jika anda sangka kacang tidak tergolong dalam kategori pencuci mulut, anda sangat rugi dan terlepas serat di dalam diet anda.

Kacang merah atau lebih dikenali sebagai kacang azuki disediakan dengan memanaskannya di dalam gula lalu menyebabkannya menjadi adunan yang lembut dan wangi.

Secara tradisionalnya, ia sangat sesuai dengan matcha.

Bahaya boba tersangkut dalam usus

“Kalau kita sengaja makan atau tertelan boba yang terdapat dalam bubble tea, apakah yang berlaku kepadanya semasa berada dalam perut kita?”.

Persoalan ini pasti akan bermain di fikiran setiap kali kita ingin minum minuman yang mempunyai boba.

Sebenarnya boba ini adalah lebih berbahaya kepada golongan kanak-kanak dan individu dewasa kerana ia mungkin boleh mengakibatkan pneumonia.

Jadi, ia sememangnya agak berbahaya jika diambil secara berlebihan.

Baru-baru ini di China, seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun didapati mempunyai lebih kurang 100 biji boba di dalam saluran penghadamannya.

Kejadian ini memeranjatkan doktor dan mula menimbulkan keraguan terhadap bahaya boba tersangkut dalam usus.

Pada awalnya, kanak-kanak perempuan itu mula mengadu sakit perut dan sembelit selama 5 hari berterusan lamanya.

Selepas dibawa ke hospital, doktor mula menjalankan rawatan dan diagnosis menggunakan alat pengimbas CT.

Alangkah terkejutnya mereka apabila menemui lebih kurang 100 biji boba di dalam saluran penghadamannya, menurut Shaoxing News.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]