DBKL rancang ganti lif lebih 10 tahun di PPR

8 mangsa cedera selepas lif di PPR Kampung Kerinci menjunam dari tingkat 5 ke bawah. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam perancangan menggantikan lif berusia lebih 10 tahun di Projek Perumahan Rakyat (PPR), kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian susulan insiden di mana sebuah lif tiba-tiba menjunam dari tingkat 5 di PPR Kampung Kerinchi pada 2 Ogos yang mencederakan 8 individu.

Insiden itu dipercayai disebabkan kecuaian pihak yang bertanggungjawab untuk penyelenggaraan lif.

“Saya dimaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan bahawa terdapat lif yang berusia lebih 10 tahun masih digunakan.

“Dia akan memaklumkan kepada saya mana lif yang perlu digantikan.

“Sekurang-kurangnya, PPR Kg Kerinchi akan diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kg Kerinchi PPR sempena perayaan Aidiladha.

Fahmi berkata terdapat 500 lif di pelbagai projek perumahan rakyat di bandar raya itu. Setiap unit lif memerlukan kos sebanyak RM100,000 hingga RM200,000 untuk menggantikannya.

“Menggantikan semua unit lif akan melibatkan jumlah wang yang besar. Kami akan menggantikan yang rosak dulu.”

Fahmi juga mengkritik penduduk yang gagal menjaga lif, dengan sesetengahnya menggunakan lif penumpang untuk mengangkut motosikal dan basikal mereka.

Beliau berkata membawa objek berat menyebabkan lif rosak lebih awal.

Mengenai isu peralihan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang digesa kumpulan Otai Reformis minggu lepas, Fahmi berkata beliau percaya kepimpinan di Putrajaya mengambil perhatian mengenai perkara itu.

“Saya percaya mereka sedang menyelesaikan perkara ini.

“Buat masa ini, kita perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat – isu perumahan, kos sara hidup, pekerjaan dan ekonomi,” kata ketua komunikasi PKR itu.

Pada 2 Ogos, kumpulan reformis itu berkata Dr Mahathir Mohamad harus mengumumkan sama ada peralihan kuasa akan berlaku pada Januari atau Mei tahun depan.

Minggu lalu, sekumpulan NGO, termasuk Bersih 2.0, Gerakan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Bertindak Malaysia, juga menggesa Mahathir menetapkan tarikh untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar pada Mei 2021.