JAS: Bacaan indeks pencemaran udara Miri masih tahap bahaya

Majoriti kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana sejak pagi tadi. (Gambar Apims.gov)

KUALA LUMPUR: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri, Sarawak, masih mencatatkan status kualiti udara tahap bahaya dengan bacaan 395 setakat pukul 7 petang ini.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Miri kembali menunjukkan trend peningkatan dengan bacaan lebih 300 sejak pukul 5 pagi tadi.

Sementara itu di Selangor, Johan Setia Klang masih mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan 126 pada pukul 7 petang.

Majoriti semua kawasan yang lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana sejak pagi tadi.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.