Lelaki maut dipercayai lemas di Air Terjun Pelangi di Kuantan

Mangsa dipercayai mandi sebelum tenggelam di air terjun Pelangi, Kuantan. Beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang ramai. (Gambar Facebook)

KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai maut akibat lemas di Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing di sini hari ini, selepas dikatakan tenggelam semasa sedang mandi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali berkata mangsa, Joshua Sia Hanyang, 31, yang beralamat di Kuala Lumpur, dipercayai pergi ke air terjun itu bersama kawannya pada 6.45 pagi.

Mangsa yang mandi di air terjun berkenaan dikatakan tenggelam kira-kira 8.45 pagi menyebabkan rakannya dengan bantuan orang awam di situ mula mencari mangsa di dasar air terjun, katanya.

“Kawan mangsa mendakwa dia dan orang awam dapat menarik mangsa yang sudah tidak sedarkan diri ke tepi air terjun sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Pasukan bomba tiba di kawasan air terjun kira-kira 12.30 tengah hari kerana perlu mendaki untuk ke situ, dan terus membawa mangsa turun ke kawasan Lubuk Beruk untuk dibawa keluar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata operasi membawa turun mangsa dengan mengusung menerusi laluan darat turut disertai anggota polis dan bomba sukarela dari Sungai Lembing.

Katanya, pegawai perubatan yang menunggu di balai polis Sungai Lembing mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas membuat pemeriksaan.

“Siasatan awal terhadap mangsa mendapati tiada kesan luka atau lebam pada tubuhnya dan setakat ini, tiada unsur jenayah disyaki berlaku,” katanya.

Mohamad Noor berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.