MTUC ingatkan majikan tentang trend ‘menipu’ hak pekerja

Setiausaha Agung MTUC J Solomon. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghalakan amarannya kepada majikan degil berikutan peningkatan kes “perbuatan tidak amanah” untuk menipu pekerja mereka, terutamanya dalam isu pembayaran pampasan.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon memberitahu FMT bahawa sesetengah majikan sentiasa mencari jalan untuk menggaji dan membuang pekerja tanpa mempedulikan kesan amalan sedemikian ke atas pekerja terbabit.

Beliau juga berkata, tidak dapat dipastikan sejauh mana amalan tersebut berpunca daripada diskriminasi.

“Dalam keadaan itu, majikan mesti dipertanggungjawabkan kerana gagal menghormati obligasi kontrak mereka seperti membayar upah yang ditetapkan, menyediakan slip gaji pekerja dan membuat potongan atau caruman statutori kepada pihak berkuasa berkaitan seperti dikehendaki,” katanya.

Katanya, satu punca lain trend ini ialah kekurangan kesedaran di pihak pekerja sendiri mengenai hak mereka di tempat kerja dan dalam kontrak pekerjaan.

Beliau berkata, kontrak pekerjaan tidak semestinya dalam bentuk bertulis.

“Dalam kes adanya kontrak bertulis, pekerja perlu menyimpan satu salinan kerana ia boleh membantu menghindari pertikaian berkaitan terma dan syarat pekerjaan.”

Solomon berkata, ramai pekerja muda, termasuk yang berpendidikan universiti, kurang pengetahuan tentang hak mereka di tempat kerja kerana mereka tidak tahu tentang kesatuan sekerja.

“Orang ramai tidak ambil peduli tentang hasil yang diraih oleh gerakan sekerja selama ini.”

Pekerja perlu diberi kesedaran bahawa mereka boleh membuat aduan sekiranya hak mereka tidak dihormati, katanya.

Jika tidak, mereka akan terbiar tanpa perlindungan dan tidak mendapat perlindungan keselamatan sosial serta faedah pencen.

“Orang muda perlu didedahkan kepada nilai dan hak teras di tempat kerja sewaktu mereka berada di sekolah. Ia harus dipertingkatkan lagi di peringkat universiti.”

Solomon juga mengambil maklum bahawa “pergantungan” pada pekerja asing merupakan masalah utama yang dihadapi sektor industri di negara ini, terutamanya dalam industri pembuatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, media massa cetak dan elektronik perlu memainkan peranan lebih besar dalam mendidik pekerja mengenai hak mereka.

“Ramai pekerja, yang dilindungi oleh undang-undang pekerjaan, mungkin tidak sedar tentang hak mereka.

“Namun begitu, persatuan majikan juga perlu dipertanggungjawabkan sekiranya mereka tidak dapat “menjamin intergriti tingkah laku mereka,” katanya.