Pasangan suami isteri sebabkan kematian di lebuh raya PLUS direman 7 hari

Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada kemalangan kecil selepas tol Sungai Besi menghala ke selatan di lebuh raya PLUS.

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang terbabit dalam satu pergelutan susulan kemalangan kecil di Lebuhraya Utara Selatan selepas plaza tol Sungai Besi sehingga menyebabkan seorang lelaki maut semalam, ditahan reman 7 hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga 17 Ogos terhadap pasangan suami isteri, masing-masing berusia 40 dan 36 tahun itu, dikeluarkan di mahkamah Kajang oleh majistret Nor Afidah Idris.

Pasangan terbabit dilihat tiba di Mahkamah Kajang pada 12 tengah hari dengan menaiki kenderaan berasingan.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku akibat kemalangan kecil selepas tol Sungai Besi menghala arah selatan di lebuhraya PLUS selepas kereta mangsa melanggar bahagian belakang kereta suspek.

Kedua-dua pemandu kemudian berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi sebelum berlaku pergaduhan, tetapi pengguna lebuh raya yang lain berjaya meleraikan pergaduhan itu dan kedua-dua pemandu balik ke kenderaan masing-masing.

Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati telah keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek kemudian memandu keretanya ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan melanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa tersepit di antara kereta dan penghadang jalan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Nilai Medical Centre namun disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.