Pendaftaran Dewan Perniagaan Melayu sah digantung

Setiausaha Agung DPMM Don Nazwin Don Najib berkata, badan itu akan memberi kerjasama penuh dan respons sewajarnya kepada pendaftar pertubuhan.

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengesahkan menerima surat penggantungan pendaftarannya dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada awal Ogos lalu.

Setiausaha Agung DPMM Don Nazwin Don Najib berkata, pihaknya maklum dengan keputusan JPPM itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang ditetapkan.

“Mewakili DPMM, saya ingin nyatakan komitmen kami untuk memberikan kerjasama penuh dan akan memberikan respons sewajarnya mengikut permintaan JPPM.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli dan pemegang taruh di seluruh negara dan di peringkat antarabangsa atas sikap prihatin. Kami akan membuat rayuan,” katanya kepada FMT.

Don Nazwin berkata, pihaknya komited memperbaiki dan meneruskan usaha baik serta terus berperanan sebagai perwakilan masyarakat perniagaan dan perindustrian Melayu di negara ini.

Terdahulu, surat yang ditandatangani pendaftar pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim bertarikh 31 Julai lalu memaklumkan jabatan itu mengantung pendaftaran DPMM.

Menerusi notis itu, pendaftaran DPMM mungkin dibatalkan jika pertubuhan itu gagal mengemukakan sebab memuaskan kepada JPPM.

Bagaimanapun notis itu yang dilihat oleh FMT, tidak menyatakan kesalahan atau pelanggaran peraturan yang dilakukan DPMM.

“Bagi menjaga kepentingan DPMM daripada terus melanggar peraturan pertubuhan, maka diperintahkan semua kegiatan pertubuhan ini digantung mulai 31 Julai 2019,” kata notis berkenaan.

DPMM sebelum ini dilaporkan mengalami konflik dalaman serius apabila 18 orang bekas ahlinya, termasuk timbalan presiden didakwa menggunakan nama pertubuhan itu secara haram dan tidak sah.