Selepas khat, DAP panggil pemimpin bincang isu Lynas pula

Pada April, 2 kumpulan yang menyokong dan juga membantah Lynas mengadakan demonstrasi di depan Parlimen.

PETALING JAYA: Seminggu selepas mengadakan pertemuan untuk membincangkan kontroversi berhubung pengenalan tulisan khat di sekolah vernakular, pemimpin DAP sekali lagi dipanggil menghadiri pertemuan Selasa ini bagi membincangkan satu lagi isu panas, iaitu kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Beberapa ahli atasan DAP memberitahu FMT bahawa mereka menerima surat jemputan ke mesyuarat khas di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur pada jam 8.00 malam Selasa ini.

“Semua ahli jawatankuasa eksekutif pusat telah dimaklumkan,” kata pembantu seorang menteri DAP yang tidak mahu dikenali.

Tidak ada agenda ditetapkan, tetapi pemimpin DAP dan ahli yang rapat dengan kepimpinan tertinggi parti itu mengesahkan isu Lynas akan menjadi fokus perbincangan.

Kilang pemprosesan nadir bumi milik Lynas Corporation Ltd yang berpangkalan di Australia diselubungi kontroversi selama beberapa tahun susulan bantahan aktivis alam sekitar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) atas alasan keselamatan dan kesihatan.

Mereka juga mendesak operasi kilang itu dihentikan.

Lesen operasi kilang berkenaan perlu diperbaharui bulan depan. Kerajaan pusat memberi gambaran umum bahawa lesen tersebut akan diperbaharui selepas Lynas membuat rancangan berhubung pelupusan sisa kilangnya.

Mesyuarat DAP Selasa ini dijangka dihadiri setiausaha agungya, Lim Guan Eng; setiausaha organisasi pusat Anthony Loke dan penolong setiausaha Yeo Bee Yin yang juga merupakan menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim dalam Kabinet Putrajaya.

Mesyuarat itu akan diadakan secara tertutup dan tiada kenyataan media akan dikeluarkan atau sidang media diadakan selepas itu, kata pegawai DAP.

Seorang ahli Parlimen DAP yang maklum mengenai mesyuarat tersebut berkata, ia juga akan berperanan sebagai satu “langkah susulan” bagi isu khat, yang mendominasi perhatian parti berkenaan minggu lepas berikutan bantahan pemimpin akar umbinya terhadap keputusan kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan tulisan khat kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular tahun depan.

Kerajaan dijangka membuat keputusan berkenaan lesen operasi Lynas pada Khamis, mendahului tarikh akhirnya pada 2 Sept. Isu Lynas juga dijangka dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Seorang ahli Parlimen DAP dari Malaysia Timur menolak khabar angin bahawa mesyuarat itu akan panas.

Katanya, beliau hanya mahu mendengar tentang syarat yang akan dikenakan ke atas Lynas sekiranya lesen operasi syarikat itu diperbaharui.

Katanya beliau juga mahu tahu perkiraan kerajaan di sebalik keputusannya.

“Saya dengar lanjutan (lesen) itu adalah untuk 6 bulan,” katanya.

“Saya mahu tahu apakah yang akan berlaku jika Lynas tidak mematuhi syarat yang ditetapkan. Apakah (lesennya) akan diperbaharui juga?”