79 jemaah haji Malaysia dibawa wukuf ke Arafah dengan ambulans

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan rukun Islam ke-5 itu dibantu 640 petugas TH. (Gambar Bernama)

MAKKAH: Seramai 79 orang jemaah haji Malaysia yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di sini telah dibawa melakukan ibadat wukuf di Arafah melalui program safari wukuf pada Sabtu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata pesakit terbabit yang berada dalam keadaan sedar dibawa seketika ke Arafah selepas masuknya waktu wukuf menggunakan ambulans dan bas khas bagi membolehkan mereka melaksanakan rukun ke-2 haji itu.

Wukuf bermaksud berhenti dan berada di Arafah sebentar atau seketika dalam apa juga keadaan.

Fuziah berkata, 9 jemaah haji Malaysia meninggal dunia ketika mengerjakan ibadat haji setakat ini dengan kematian terbaru melibatkan seorang jemaah wanita, semalam.

Beliau berkata jemaah itu Faridah Abdul Latip, 65, dari Kuala Rompin, Pahang itu meninggal dunia akibat serangan jantung selepas melakukan ibadat melontar di jamrah jam 7.05 malam tadi waktu tempatan atau 12.05 tengah malam waktu Malaysia.

“Jemaah tersebut meninggal dalam perjalanan balik ke khemah dan terkena serangan jantung di terowong Muassim dan disahkan meninggal dunia,” kepada pemberita selepas melawat Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 6 jemaah haji yang sedang dirawat di hospital Arab Saudi di sini berada dalam keadaan kritikal dengan kebanyakan mereka menghidap penyakit seperti masalah jantung, jangkitan kuman di paru-paru serta penyakit tibi dan ada dalam keadaan koma.

Katanya, pihak hospital Arab Saudi menyediakan rawatan dan jagaan terbaik buat mereka.

“Mereka ini mempunyai sejarah penyakit berkenaan sejak dari tanah air dan dengan keadaan di sini yang amat mencabar daya tahan mereka berkurangan.

“Pihak hospital Arab Saudi sedang merawat mereka sebaik mungkin, namun terpulang kepada keluarga hendak bawa mereka pulang atau sebaliknya,” katanya.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan rukun Islam ke-5 itu dibantu 640 petugas TH, termasuk rombongan perubatan terdiri daripada 23 orang doktor pakar, 38 doktor dan 226 lain-lain anggota perubatan.