Ahli Parlimen DAP dakwa MCA, Umno putar belit penjelasan isu tulisan jawi, buku lucah

Wong Shu Qi berkata, beliau menggunakan 3 slaid untuk menjelaskan tulisan jawi tidak terhad kepada penulisan agama Islam, tetapi ia turut digunakan dalam pelbagai bahan bacaan termasuk mengarang kitab agama Kristian pada abad ke-19 dan buku pornografi. (Gambar YouTube)

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen DAP di Johor mendakwa MCA dan Umno bersekongkol memainkan sentimen perkauman dengan memutar belit serta memetik di luar konteks ucapannya dalam satu dialog pada minggu lalu dengan mengaitkan tulisan jawi dan buku pornografi.

Ia susulan satu klip video selama 22 saat yang tersebar di media sosial semalam menunjukkan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi bercakap dalam bahasa Cina sambil menayangkan beberapa gambar buku yang didakwanya sebagai buku lucah.

Hari ini, Wong berkata, beliau mengadakan satu dialog dengan wakil 28 persatuan Cina di Kluang pada 9 Ogos lalu untuk menjelaskan kekeliruan mengenai keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun depan yang dianggap taktik pengislaman.

Beliau mendakwa seorang pemimpin MCA yang turut menghadiri dialog itu merakam ucapannya tanpa kebenaran, sebelum Naib Ketua Pemuda MCA Kluang, Joan Ng memuat naik klip itu ke media sosialnya dengan catatan dalam bahasa Cina “Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menyokong tulisan jawi”.

Katanya, klip itu kemudiannya dipadamkan dan tentera siber Umno bertindak memetik sebahagian rakaman itu untuk memfitnahnya menghina tulisan jawi.

“Dengan merujuk kepada ucapan saya yang sama, MCA mendakwa saya menyokong tulisan jawi dengan tujuan menghasut orang Cina, manakala Umno pula mendakwa saya menghina tulisan jawi dengan tujuan menghasut orang Melayu. Begitu terang lagi bersuluh permainan politik jahat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata, beliau menggunakan 3 slaid untuk menjelaskan hujahnya mengenai tulisan jawi yang digunakan dalam sistem tulisan bahasa Melayu secara am sebelum 1956, termasuk dalam pelbagai bahan bacaan bahasa itu yang tidak terhad kepada penulisan agama Islam saja.

Adun Senai itu memberi contoh tulisan jawi pernah digunakan untuk mengarang kitab agama Kristian pada abad ke-19 dan buku pornografi.

Dalam kenyataan hari ini, beliau melampirkan transkrip ucapannya bagi slaid kedua mengenai bahan bacaan pornografi.

“Gambar ini merupakan buku-buku pornografi zaman dahulu dan sekadar digunakan di sini sebagai contoh gambaran.

“Jika tulisan jawi hanya dikhaskan untuk agama Islam saja, maka sekiranya ada ekstrimis Islam yang tahu benda ini, ada kemungkinan mereka akan menghalang penggunaan tulisan jawi oleh orang bukan Islam kerana bahan sebegini menghina agama Islam.

“Bahan-bahan sebegitu diterbitkan zaman dulu-dulu dan membuktikan tulisan jawi adalah tulisan yang diguna pakai secara meluas. Hubungan tulisan jawi dengan bahasa Arab sama dengan bahasa Inggeris dengan bahasa Jerman atau Perancis.

“Sekiranya anda faham ABC, adakah bermakna anda juga faham bahasa Perancis dan bahasa Jerman? Kenapa? Walaupun ABC semua sama, tetapi anda tidak dapat memahami (bahasa Perancis dan bahasa Jerman) kerana walaupun ketiga-tiga bahasa menggunakan sistem tulisan yang sama iaitu tulisan rumi, namun ketiga-tiganya merupakan bahasa berbeza.”

Wong berkata, slaid ketiga menjelaskan walaupun ada penganut Buddha menulis kaligrafi Cina bagi mempersembahkan manuskrip Buddha, tetapi hampir tiada orang yang akan beranggapan kaligrafi Cina adalah untuk kegunaan agama Buddha saja.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan pengenalan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 akan diteruskan mulai tahun depan.

Tetapi, guru diberi pilihan untuk mencari kaedah terbaik mengajar dan mempraktikkan tulisan itu dalam bilik darjah.