Cabaran saya hadapi lebih besar, tapi saya tak salahkan orang lain, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, kerajaan PH harus mengambil tanggungjawab ke atas keadaan ekonomi negara sekarang.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berkata, beliau tidak pernah mengadu mahupun menyalahkan pemimpin sebelumnya semasa berdepan cabaran memimpin negara sewaktu menjadi perdana menteri ke-6 dahulu.

“Masa itu saya tidak pernah menyalahkan sesiapa ataupun mengadu. Kita buat kerja sahaja dan melancarkan Pelan Transformasi Negara.

“Tak sampai setahun, kami berjaya menyelamatkan ekonomi kita dan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara tahun 2010 naik (sebanyak) 7.4%,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu temu bual bertajuk “Mahathir Bicara Ulama dan Jokowi: Catatan Najwa” bersama personaliti media Indonesia Najwa Shihab, yang dimuat naik menerusi YouTube.

Dalam temu bual itu, Mahathir dilaporkam berkata, tanggungjawabnya sebagai perdana penteri pada masa ini 3 kali lebih berat berbanding semasa pertama kali menjawat jawatan itu 3 dekad sebelum ini.

Katanya, ketika mengambil alih pemerintahan negara pada tahun 1981, keadaan pentadbiran dan kewangan negara bersih dan teratur, tanpa isu kewangan menjadi masalah.

Sebaliknya kata beliau, selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lepas, pentadbiran negara berada dalam keadaan yang “kotor” dan diburukkan lagi dengan ramai yang terbabit dengan rasuah.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sebaik sahaja beliau mengambil alih pentadbiran kerajaan pada April 2009 lalu, beliau sudah berdepan dengan pelbagai krisis dan cabaran.

Ini termasuk krisis ekonomi dunia paling teruk sejak tahun 1930-an dan semua sektor ekonomi sedang mengalami ancaman.

“KDNK negara turun 0.2% pada suku ke-4 tahun 2008 dan menguncup 6.2% pada suku pertama tahun 2009 – satu kejatuhan yang amat seram.

“Harga minyak dunia sudah jatuh dari AS$140 ke AS$35 satu tong. Negara dibebankan dengan perjanjian penjana elektrik bebas (IPP) yang berat sebelah dan menyebabkan kerajaan tanggung kerugian sebanyak RM30 bilion setahun.

“Kita dibebankan oleh perjanjian lebuh raya berat sebelah yang memerlukan kerajaan membayar pampasan besar setiap tahun terutama kepada syarikat PLUS dan indeks pasaran saham cuma 800 mata,” katanya.

Bagaimanapun kata Najib, keadaan berbeza sebelum PM ke-7 mengambil alih pentadbiran negara.

Katanya lagi, sudah tiada sebarang krisis ekonomi dunia.Malah beban perjanjian IPP berat sebelah dapat diselesaikan.

Selain itu, perjanjian lebuh raya tol PLUS berat sebelah turut diselesaikan apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) membeli sepenuhnya pada tahun 2010 dan rizab tunai Petronas pula tinggi sebanyak RM170 bilion.

“Eksport negara naik 18.9% pada 2017, bukannya turun 23%; defisit kerajaan turun 8 tahun berturut-turut dan hanya 3% pada 2017, walaupun bantuan kepada rakyat semakin meningkat setiap tahun.

“Nisbah hutang negara cuma 50.1% pada akhir 2017. Nilai hutang juga RM686.8 bilion berbanding sekarang naik ke RM810 bilion di bawah PH,” katanya.

“Jika nak banding, jelas bahawa masa saya mula jadi PM adalah jauh lebih mencabar berbanding keadaan negara yang diwariskan kerajaan BN kepada PH.

“Kita mewariskan sebuah ekonomi yang berada dalam keadaan baik,” kata Najib.

Justeru kata beliau, apa yang berlaku selepas itu adalah tanggugjawab PH, terutamanya menteri kewangan dan menteri hal ehwal ekonomi.