Dr M: Dong Zong rasis, kaitkan tulisan jawi dengan Islamisasi

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Dong Zong rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan kerajaan, termasuk dalam isu sekolah wawasan sebelum ini.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana pertubuhan pendidikan Cina itu sering membantah keputusan kerajaan, termasuk dalam isu memperkenalkan tulisan jawi di sekolah.

“Dong Zong ini rasis. Kita buat sekolah satu kampus, sekolah wawasan letakkan sekolah Cina, Tamil dan Kebangsaan dalam satu kampus, dia tidak mahu. Takut anak-anak dia konon bercampur dengan orang Melayu.

“Jadi dia tidak suka orang Melayu, semua dia hendak bantah dan tidak pernah bersetuju dengan apa-apa pun,” katanya pada satu majlis ramah mesra Aidiladha di Langkawi, hari ini.

Dong Zong sebelum ini merancang mengadakan petisyen terbaru bagi membantah pengajaran khat jawi di sekolah vernakular.

Menurut pengerusinya, Tan Tai Kim, petisyen itu yang akan turut disokong kumpulan pendidikan Tamil, dibuat berdasarkan “penyelidikan beberapa orang cendekiawan dan pakar kesusasteraan” yang menunjukkan bahawa khat jawi digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.

Tan berkata, pihaknya tidak boleh menerima sekiranya murid bukan Islam diperkenalkan kepada khat, yang merupakan pelanggaran hak perlembagaan mengenai agama.

Mahathir juga mempersoalkan sikap Dong Zhong yang tidak membangkitkan isu ini sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN), memandangkan perkara ini sudah diluluskan sejak 2012 lagi.

“Benda ini sudah diluluskan pada 2012 oleh kerajaan dahulu. Kenapa Dong Zong pada masa itu tidak buat aduan. Sekarang ini baru mengadu? Sebab sekarang ini bebas dan dahulu, kalau mengadu ‘masuk dalam’.

“Jadi sekarang ini mengadulah. Kita sudah buat keputusan, kalau tidak mahu ambil, maka usahlah,” katanya.

Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa rancangan untuk memperkenalkan 6 muka surat pelajaran khat dalam buku teks bahasa Melayu Tahun 4 tahun depan telah dikaji semula. Ia kini hanya mengekalkan 3 muka surat dan menjadikan pelajarannya satu pilihan.

Menterinya Maszlee Malik menafikan langkah memperkenalkan khat sebagai satu bentuk Islamisasi.

Pemimpin PH lain seperti Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan penasihat DAP Lim Kit Siang dilaporkan berkata sebelum ini bahawa khat merupakan satu kesenian dan tidak bersifat keagamaan.

Dalam pada itu, Mahathir turut menyindir ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang mencadangkan supaya DAP mengkaji semula proses pembuatan keputusan dalam PH kerana kuasa begitu luas terletak di tangan perdana menteri.

Menurut Santiago, isu kontroversi dalam kerajaan yang melibatkan kaum dan agama harus dibincangkan dalam majlis presiden PH, tetapi Mahathir banyak membuat keputusan sepihak yang menimbulkan kebimbangan.

“Pada masa hadapan, apabila saya hendak buat keputusan, saya tanya boleh atau tidak Santiago, kalau tidak bersetuju, saya tidak akan buat. Saya hendak dapatkan pandangan dia, dia setaraf dengan saya,” katanya.