ECRL mampu rapat jurang ekonomi penduduk dan negeri, kata timbalan menteri

Keadaan di tapak Terowong Dungun, Bukit Bauk susulan pelancaran semula ECRL pada 25 Julai lalu. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dilihat mampu merapatkan jurang ekonomi penduduk, terutamanya negeri yang terbabit dalam jajaran projek itu termasuk Kelantan, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, projek itu sejajar hasrat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkaitan Gagasan Kemakmuran Bersama yang mahu gabungan infrastruktur itu menjadi pemangkin kepada ekonomi masa depan.

“Kemakmuran ini bukan saja dapat merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat dan wilayah, sebaliknya usaha pembangunan ini juga dapat merapatkan jurang ekonomi bandar-bandar di Kelantan dan negeri maju lain yang menjadi tumpuan dan untuk kesamarataan.

“Ini antara penekanan diberikan kepada Kelantan, jika kita lihat sewaktu perdana menteri membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 pada Oktober tahun lalu, Kelantan antara 6 negeri yang bakal diberi peruntukan pembangunan.

“Ini adalah satu rahmat kepada rakyat Kelantan kerana akan memberi limpahan ekonomi kepada mereka,” katanya pada Majlis Korban Perdana PPBM Ketereh di Pertubuhan Peladang Sungai Ketereh di sini, hari ini.

Sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan pada majlis itu dan diagihkan kepada 100 penduduk sekitar dengan setiap seorang mendapat 1kg daging.

Sementara itu, Radzi yang juga timbalan Majlis Tindakan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Pengerusi MTNg Kelantan, Mohamed Azmin Ali berkaitan 5 projek yang diberi keutamaan kerajaan persekutuan Mac lalu, turut memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.

Beliau berkata, 5 projek itu membabitkan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baru Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

“Contohnya, bagi projek Jambatan Palekbang di Tumpat yang sekian lama dinantikan rakyat mampu mempercepatkan laluan antara Tumpat ke Kota Bharu, berikutan laluan sedia ada yang sesak, terutama pada waktu puncak.

“Begitu juga naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dijangka dapat mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, selain pembinaan LPT3 dapat memberi kemudahan dan tambahan jaringan jalan raya membabitkan laluan antara Gemuruh di Kuala Terengganu ke Tumpat.”