Guan Eng akan bangkit isu khat dalam mesyuarat Kabinet sekali lagi

Menteri Kewangan Lim Gua Eng.

PETALING JAYA: Lim Guan Eng berkata, beliau akan mencadangkan semakan semula ke atas langkah kerajaan memperkenalkan tulisan khat dalam silibus Bahasa Melayu Tahun 4 dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim, yang juga menteri kewangan berkata, inisiatif itu tidak ada kaitan dengan laporan yang mendakwa seorang menteri berkata bahawa ramai anggota Kabinet tidak bersetuju dengan langkah memperkenalkan tulisan khat di sekolah Cina dan Tamil.

Katanya, dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas, telah dipersetujui bahawa pengenalan khat tidak diwajibkan dan kandungan mengenainya dalam buku teks dikurangkan kepada 3 muka surat berbanding 6 sebelum ini. Selain itu, ia juga tidak akan dimasukkan dalam peperiksaan dan ujian.

“Dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas, menteri DAP telah menuyuarakan sentimen meluas dalam kalangan masyarakat Cina dan India yang tidak gembira dengan langkah Kementerian Pendidikan meneruskan pelaksanaan rancangan itu tanpa terlebih dahulu berunding dengan pemegang taruh sekolah rendah Cina dan Tamil.

“Berikutan perkembangan terbaru dan rundingan serta maklum balas lanjut daripada orang owam, saya akan bangkitkan perkara itu sekali lagi dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.”

Minggu lepas, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mempertahankan keputusan untuk memperkenalkan tulisan khat dengan berkata, pengajaran khat hanya merupakan satu aktiviti yang melibatkan 3 muka surat buku teks Bahasa Melayu, selain tidak akan diuji.

Langkah kementerian berkenaan mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk penggiat pendidikan Cina dan Tamil yang berkata, ia tidak akan membantu murid mempertingkat kemahiran Bahasa Melayu mereka.

Sebilangan pemimpin akar umbi DAP juga membantah langkah itu, sementara pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil melancarkan petisyen menolak inisiatif itu dengan alasan tulisan khat pernah dijadikan medium penyebaran Islam.