Berhenti merengek, tunai janji, Yong beritahu DAP

Presiden SAPP Yong Teck Lee.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee mengesa penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng supaya menunaikan janji kepada Sabah, bukannya mengeluh kononnya parti itu kehilangan sokongan akibat isu khat.

Yong yang merupakan presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) mengingatkan DAP tentang janjinya yang gagal dipenuhi lebih setahun selepas Pakatan Harapan (PH) merebut kuasa kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional (BN).

“Antara janji jelas dan tidak dapat dinafikan ialah untuk mengembalikan 50% daripada hasil cukai kepada Sabah yang diumumkan oleh Lim Guan Eng di hadapan pemimpin DAP negeri ini sebelum pilihan raya umum lepas.

“Satu lagi janji yang tidak boleh dilupakan ialah royalti minyak 20% kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Yong berkata, Kit Siang harus menunaikan janjinya kepada pengundi di Sandakan untuk mempengerusikan sendiri majlis khas bagi memulihkan ekonomi Sandakan yang dibuat tidak lama sebelum pilihan raya kecil di situ 3 bulan lepas.

Menurut Yong, Kit Siang boleh menggunakan pengaruhnya bagi membantu menunaikan janji memberi peruntukan RM2.28 bilion untuk membangunkan Sandakan.

“Sebagai pengerusi majlis ekonomi Sandakan, Kit Siang juga boleh memberikan pandangan sama ada bayaran meletak kereta majlis perbandaran di situ harus diperluaskan ke beberapa kawasan lain di Sandakan,” katanya.

“Janji lain DAP ialah untuk menyiapkan jambatan di Kota KInabalu yang hanya memerlukan peruntukan persekutuan sebanyak RM2 juta, tetapi pemimpin DAP nampaknya tidak mampu mendapatkannya daripada Kementerian Kewangan.

Lim Guan Eng adalah menteri kewangan kerajaan PH.

“Malangnya, selain tidak menunaikan janji, menteri kewangan DAP itu mengenakan cukai baru ke atas rakyat, termasuk Cukai Pelepasan, Cukai Soda (ke atas minimum ringan bergula), Cukai Digital dan Cukai Keuntungan Harta Tanah,” katanya.

Yong berkata, DAP juga bertanggungjawab meluluskan langkah memperkenalkan tulisan khat jawi di sekolah vernakular bermula tahun depan, selain mempersoalkan jumlah wang yang diperlukan untuk melatih guru khat di sekolah terbabit.

Beliau juga mengingatkan DAP berhubung janji untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Persendirian Cina (UEC) yang belum ditunaikan.