Jerebu di 2 kawasan Miri sangat tidak sihat, berbahaya

Data keseluruhan menunjukkan 63 kawasan di seluruh negara berada di tahap sederhana, 3 kawasan di tahap tidak sihat dan masing-masing satu kawasan sangat tidak sihat serta berbahaya.

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di kawasan Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2, Sarawak hari ini berada di tahap berbahaya dengan catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 317 setakat 11 pagi tadi.

Kawasan itu berada di tahap sangat tidak sihat sejak 8 pagi tadi dengan IPU 242, sebelum ia meningkat kepada IPU 282 sejam kemudian dan IPU 302 pada 10 pagi tadi.

Jerebu di Institut Latihan Perindustrian Miri, Sarawak pula di tahap sangat tidak sihat dengan catatan IPU 296 setakat 11 pagi tadi, berbanding bacaan IPU 301 pada 8 pagi tadi.

Sementara itu, keadaan jerebu di Sibu yang berada di tahap tidak sihat (bacaan IPU 118) pada 11 malam tadi, mencatat peningkatan ketara dengan bacaan IPU 170 pada 11 pagi tadi.

Sri Aman turut berada di tahap tidak sihat sejak 4 pagi tadi dengan bacaan IPU 107 dan menurun kepada IPU 102 pada 11 pagi.

Data keseluruhan menunjukkan keadaan semasa jerebu di seluruh Malaysia dengan 63 kawasan berada dalam tahap sederhana, 3 kawasan berada dalam tahap tidak sihat dan masing-masing satu kawasan sangat tidak sihat serta berbahaya.

Bacaan IPU 0-50 menandakan kualiti udara sihat, 51-100 ialah sederhana, 101-200 ialah tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 ialah berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi http://apims.doe.gov.my/v2/ atau memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di untuk bacaan IPU terkini pada setiap jam.