Keluarga tawar RM50,000 untuk maklumat temukan Nora Anne

Nora Anne Quoirin, remaja Ireland yang hilang sewaktu bercuti bersama keluarganya di Nilai, Negeri Sembilan lebih seminggu lalu. (Gambar Tabung Amanah Lucie Blackman dan keluarga)

PETALING JAYA: Keluarga remaja Ireland hilang, Nora Anne Quoirin menawarkan wang RM50,000 untuk maklumat yang boleh membawa kepada penemuan anak mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, keluarga berkenaan merayu mana-mana orang yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja 15 tahun itu supaya tampil bagi membantu usaha mencarinya yang masuk hari ke-9 hari ini.

“Pasukan polis bekerja keras untuk membawa Nora pulang. Bagi membantu siasatan mereka, kami memutuskan untuk menawarkan ganjaran,” kata kenyataan itu.

Keluarga itu berkata, wang tersebut didermakan oleh sebuah syarikat di Belfast yang enggan dikenali.’

“Nora adalah anak sulung kami. Dia mudah terdedah kepada risiko sejak dilahirkan. Dia adalah permata hati kami. Hati kami luluh,” katanya.

Nora Anne, yang bermasalah pelajaran, hilang sewaktu bercuti bersama keluarganya di Dusun Resort, di Nilai, Negeri Sembilan.

Pagi ini, pihak berkuasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat terbesar melibatkan 348 anggota, termasuk pasukan elit polis VAT 69.

Orang ramai termasuk kumpulan pendaki gunung berpengalaman turut terlibat dalam operasi mencari yang dijalankan.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian polis di 011-12285058, sementara mereka yang berada di luar negara boleh menghubungi e-mel di alamat [email protected]