Kertas kerja subsidi petrol bersasar di fasa akhir, kata menteri

Bajet 2019 menyatakan pemilik kereta berkapasiti 1,500cc dan motosikal berkapasiti 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

GEORGE TOWN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail sangat berpuas hati dengan tahap penyediaan kertas kerja program subsidi petrol bersasar yang dijanjikan kepada kumpulan berpendapatan 40% terendah (B40).

Saifuddin berkata beliau sangat berpuas hati kerja awal ini sebelum pembentangan kertas kepada Kabinet.

“Walaupun dari segi garis masa itu lari sedikit, di mana ia sepatutnya diumumkan pada suku pertama tahun ini…tetapi, kini ia dalam fasa akhir, iaitu dalam proses ‘fine-tuning’ sebelum dibentangkan,” katanya selepas menghadiri Majlis Qurban Perdana DUN Pantai Jerejak di Surau Bandar Bayan Baru hari ini.

Beliau berkata, dalam fasa akhir ini, data kumpulan sasar yang dikenal pasti sedang disilang semak untuk memastikan mereka yang benar-benar layak akan dapat menerima subsidi petrol.

“Kita ada pelbagai data dari bantuan sara hidup, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan rujukan akaun kepada Bank Negara Malaysia, di mana kita sedang silang semak semua data ini.”

Saifuddin yang juga Adun Pantai Jerejak berkata, selepas semua proses siap, kertas kerja ini akan dibentang kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan.

“Jika Kabinet berpuas hati, tiada pindaan, arahan terbaru atau keputusan terbaru daripada Kabinet, kerajaan akan mengumumkan secara rasmi pelaksanaannya merangkumi seluruh negara.”

Mengenai jangka masa pembentangan kertas kerja itu, beliau menjangkakan ia akan dibentang dalam masa terdekat.

Dalam Bajet 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada November 2018, pemilik kereta berkapasiti 1,500cc dan motosikal berkapasiti 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.