Mangsa ribut perlu bersyukur walaupun bantuan kerajaan tak banyak, kata PM

Dr Mahathir Mohamad hari ini memandu kereta sendiri untuk melihat keadaan Pantai Tengah di Langkawi yang dilanda ribut pada Jumaat lalu. Beliau turut ditemani isterinya, Dr Siti Hasmah Ali. (Gambar Bernama)

LANGKAWI: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat Malaysia yang terjejas akibat ribut pada minggu lalu supaya bersabar dan bersyukur dengan bantuan diberikan kerajaan.

Beliau berkata, walaupun bantuan itu mungkin tidak seberapa, namun ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka.

“Hari ini kita menghadapi malapetaka, iaitu angin kencang telah serang Langkawi ini dan banyaklah rumah yang runtuh dan sebagainya, tetapi Alhamdulillah semuanya mendapat bantuan.

“Mungkin bantuan itu tidak cukup, tapi dapat juga bantuan daripada kerajaan melalui wakil-wakil rakyat,” katanya berucap pada majlis ramah mesra bersama penduduk sempena Majlis Korban di Kedawang di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sangat beruntung berbanding rakyat di sesetengah negara lain yang menghadapi bencana kerana mereka tidak mendapat bantuan.

“Saya teringat Nepal yang dilanda gerak gempa dan seluruh negara itu runtuh dan ramailah yang kehilangan rumah…dan mungkin kerana kerajaan mereka tidak mampu, Nepal masih berada dalam keadaan selepas gerak gempa.”

Katanya, di Malaysia, rakyat sering mendapat bantuan apabila dilanda bencana tidak kira ia bencana kecil atau besar.

“Walaupun bantuan itu tidak pernah cukup, tapi kita perlu berasa terhutang budi sedikit kerana di negara lain bantuan yang kita lihat seperti di sini tidak ada.”

Sementara itu, Mahathir menerusi ucapannya melaungkan tadbir dalam nada sebak: “Allah Maha Besar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilham.”

“Itulah yang kita sebut pada hari raya kerana kita bersyukur kepada Allah,” katanya sambil menambah orang yang sentiasa bersyukur dijanjikan Allah dengan nikmat berlipat ganda.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat, walaupun bantuan untuk penduduk yang terjejas akibat ribut tidak seberapa, mereka perlu bersyukur.

Jumaat lalu, ribut melanda beberapa negeri di utara Semenanjung yang menyebabkan kerosakan banyak kediaman penduduk dan bangunan lain, selain kejadian pokok tumbang.

Mahathir turut meluangkan masa meninjau keadaan di sepanjang Pantai Tengah di sini yang teruk dibadai ribut pada Jumaat lalu.

Beliau yang mempunyai program padat di Langkawi hari ini memandu sendiri kereta SUV Lexus sambil ditemani isterinya, Dr Siti Hasmah Mohammad Ali untuk melihat sendiri kesan badaian ribut.

Ahli Parlimen Langkawi itu meluangkan kira-kira 15 minit di lokasi berkenaan. Kesan pokok tumbang yang sudah dibersihkan dan kerosakan pada premis perniagaan masih dapat dilihat.

Dalam kejadian Jumaat lalu, hujan lebat serta angin kencang melanda kawasan itu kira-kira 7.45 malam menyebabkan premis perniagaan dan kenderaan ditimpa pokok serta kabel elektrik tumbang.