Operasi terbesar lebih 300 anggota cari Nora Anne hari ini

Operasi mencari dan menyelamat remaja Ireland pada hari ini turut menumpukan pencarian di Gunung Berembun. (Gambar Bernama)

NILAI: Polis pagi ini mengerahkan seramai 348 anggota dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang memasuki hari ke-9 hari ini.

Jumlah itu menjadikan ia sebagai pasukan SAR yang terbesar setakat ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Nor Marzukee Besar dalam kenyataan di sini berkata, agensi keselamatan yang terlibat antaranya ialah polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri, Sapura, serta penduduk tempatan termasuk Orang Asli.

Operasi SAR pada hari ini turut menumpukan pencarian di Gunung Berembun.

Sehingga pukul 11.15 pagi ini, keadaan mendung dan berkabus serta sekali sekala disertai hujan.

Keadaan ini dijangka memberi cabaran kepada petugas SAR serta petugas media yang turut menyertai operasi.

Setakat pagi ini, status keberadaan Nora Anne masih menjadi tanda tanya dan tinjauan di lokasi mendapati beberapa kenderaan pelbagai agensi keselamatan dilihat keluar dan masuk dari laluan utama ke resort dan kaki Gunung Berembun.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian 2 minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi hari berikutnya.