Rakyat tolak politik perkauman, kata naib presiden PKR

Zuraida Kamaruddin akan menemui menteri besar Selangor tidak lama lagi untuk membincangkan isu penukaran agama anak bawah umur oleh sebelah pihak untuk memahami perspektif kerajaan Selangor.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini menolak spekulasi mendakwa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercadang meminda enakmen negeri berhubung penukaran agama sebelah pihak bertujuan mengukuhkan sokongan pengundi Melayu terhadap pemimpin tertentu.

Ahli Parlimen Ampang itu percaya politik Malaysia tidak lagi terikat kepada aspek perkauman dan rakyat “lebih baik daripada itu”.

“Saya rasa politik kita melangkaui itu. Tiada lagi pemisahan kaum,” katanya kepada FMT dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di sini, hari ini.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, beliau akan menemui menteri besar tidak lama lagi untuk membincangkan isu penukaran agama sebelah pihak untuk memahami perspektif kerajaan Selangor.

Katanya, kerajaan negeri masih tertakluk kepada nasihat sultan.

Amirudin didakwa mencadangkan pindaan enakmen itu untuk mengukuhkan sokongan pengundi Melayu bagi pemimpin tertentu, susulan konflik antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali disebabkan kontroversi video seks sejenis pada Jun lalu.

Terdahulu, Amirudin hari ini dilaporakan berkata, Sultan Selangor sedang meneliti usul rang undang-undang penukaran agama anak sebelah pihak itu.

Beliau berkata, usul itu juga akan dibincangkan dengan semua pihak, termasuk pimpinan Pakatan Harapan peringkat negeri dan pusat, sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Amirudin mencadangkan pindaan itu minggu lalu, walaupun Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018 memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Ketika ini, remaja berusia 18 tahun ke bawah di Selangor perlu mendapatkan kebenaran ibu dan bapa untuk memeluk Islam dan pindaan itu hanya memerlukan kebenaran ibu atau bapa.

Susulan itu, 4 exco bukan Islam Selangor menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 8 Ogos lalu dipercayai untuk membincangkan isu itu.

Sidang DUN Selangor pada akhir bulan lalu ditangguhkan selepas hanya 2 hari bersidang oleh Speaker, Ng Suee Lim yang menafikan spekulasi beliau berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan cadangan pindaan itu.

Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, sebarang cubaan memperkenalkan RUU penukaran agama sebelah pihak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Amirudin kemudiannya dilaporkan berkata, usul itu mungkin dibentangkan pada sidang DUN akan datang, jika ada kepentingan.