Rasai pengalaman tidur dalam kontena di tengah bendang

Padi box, terletak di Sekinchan Kuala Selangor, berada di kawasan tengah sawah padi, memberi keunikannya tersendiri kepada pengunjung.

Jika anda tinggal di Kuala Lumpur, anda tidak perlu pergi jauh untuk menikmati pemandangan sawah padi yang terbentang luas.

Pemandangan indah ini anda boleh nikmati hanya sejam setengah perjalanan dari ibu kota.

Dengan tempat percutian yang unik, dalam kontena, berwarna warni, ia memberi kelainan pada anda yang sebelum ini menginap di hotel atau resort sahaja.

“Padi Box” menawarkan servis homestay di tengah-tengah bendang, sesuai untuk keluarga dan rakan-rakan.

Konsepnya sesuai untuk mereka yang ingin bercuti dalam negara dengan suasana santai dan ‘hipster’.

Walaupun ringkas, Padi Box menyediakan katil yang selesa lengkap dengan bilik air di dalamnya.

Meskipun semua dinding bilik adalah daripada kontena dan silingnya agak rendah namun sesiapa sahaja yang menginap di situ tidak akan berasa sesak atau rimas kerana mempunyai sistem udara yang nyaman.

Menariknya, setiap bilik mempunyai warna tema tersendiri seperti oren, kuning, merah dan ungu, dan kadar sewanya berpatutan bergantung pada jenis bilik yang diambil.

Dan uniknya, anda boleh memilih bilik dengan balkoni untuk keluarga yang boleh memuatkan 6 orang tetamu.

Bayangkan, bangun sahaja di waktu pagi, anda buka pintu balkoni dan anda melihat sawah padi terbentang luas dengan pemandangan hijau di desa yang sungguh nyaman.

Walaupun kawasannya kecil, homestay unik ini memaksimumkan setiap sudut dengan kawasan rehat untuk tetamu.

Bukan sahaja boleh berehat di bilik, malah pengunjung juga boleh menikmati minuman di kafe Padi Box sambil menikmati pemandangan indah sawah padi.

Sebelah malam, anda boleh meluangkan masa bersama di “common room” di mana ia mempunyai meja pool, boleh bermain “Nintendo” yang disediakan dan pelbagai permainan lain lagi.

Tiada caj tambahan dikenakan untuk menggunakan “common room” ini.

Tempat barbeku disediakan untuk mereka yang datang secara berkumpulan dan ingin menikmati keindahan waktu malam dengan menghirup udara nyaman di tengah bendang.

Selain itu, anda juga boleh merancang untuk buat barbeku bersama rakan-rakan atau keluarga di tingkat atas di mana terdapat meja dan sinki kecil disediakan untuk kemudahan tetamu.

Apa yang perlu anda lakukan hanya maklumkan pada pihak Padi Box untuk membuat barbeku.

Selain itu, antara aktiviti lain yang boleh anda lakukan ialah sewa basikal untuk melihat keadaan di sekitarnya.

Padi Box juga menyediakan perkhidmatan sewa basikal untuk mereka yang ingin jalan-jalan kawasan berdekatan.

Anda boleh memilih untuk menyewa basikal biasa ataupun basikal jenis tandem untuk 2 penunggang sekaligus.

Harga sewaan basikal biasa ialah RM10 untuk 2 jam, manakala basikal tandem ialah RM15 untuk 2 jam.

Basikal ini juga boleh disewa bagi mereka yang tidak menginap di Padi Box bagaimanapun kadar sewaan sedikit berbeza.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keindahan bolehlah berkunjung ke alamat di bawah:

Padi Box

Jalan Tali Air 4

Kampung Parit Empat

45400 Sekinchan, Selangor

Tel: 019-320 5688

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]