Rasuah punca kenderaan tak selamat diluluskan, kata pegawai Puspakom

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail (berdiri) memeriksa rakaman pemeriksaan kenderaan di sistem pemantauan pusat di ibu pejabat di Shah Alam.

PETALING JAYA: Seorang pegawai Puspakom mendakwa rasuah tersebar dalam kalangan anggota perkhidmatan pemeriksaan kenderaan itu.

Sumber memberitahu FMT pemeriksa kenderaan akan mengambil suapan antara RM200 hingga RM1,000 untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan yang tidak selamat digunakan di jalan raya lagi.

Katanya, jumlah itu bergantung kepada tahap kerumitan masalah kenderaan itu atau sama ada ia perlu menggunakan kenderaan lain sebagai pengganti.

Merujuk kenderaan pengganti, katanya, ia digunakan untuk ujian selepas kamera merekodkan nombor pendaftaran dan casis kenderaan yang sepatutnya menjalani pemeriksaan.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diguanakan ketika pemeriksaan selalu gagal berfungsi dan lensanya kadangkala disapu dengan habuk untuk mengaburi rakaman.

“Kadangkala kamera mudah alih digunakan, tetapi ia tidak disasarkan dengan betul atau digunakan secara terpilih,” dakwanya.

Disebabkan rasuah, katanya, kenderaan persendirian dan komersial yang “tidak dijaga dengan baik” diluluskan.

Beliau berkata, cara terbaik untuk menangani isu itu ialah menjalankan audit ke atas perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melakukan pemeriksaan secara tetap.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail bagaimanapun menolak dakwaan itu dengan berkata, ia sudah menambah baik kaedah pemeriksaannya selama ini untuk mengurangkan campur tangan manusia.

Katanya, rakaman kamera bagi setiap langkah pemeriksaan di luar bangunan disalurkan ke sistem pemantauan pusat di ibu pejabat syarikat itu di Shah Alam sebelum mana-mana kenderaan diluluskan untuk digunakan di jalan raya.

“Kakitangan di ibu pejabat tidak tahu kenderaan mana yang akan diperiksa seterusnya.”

Seorang pegawai Puspakom menunjukkan cara memeriksa bahagian bawah kenderaan menggunakan sebuah kamera yang dipasang pada pemegang cermin.

Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan juga akan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas pegawai Puspakom.

Katanya, satu-satunya aduan yang diterima daripada pemilik kenderaan ialah kelewatan dalam pemeriksaan dan beliau menjelaskan ia disebabkan ramai kenderaan yang perlu diperiksa di beberapa kawasan luar bandar.

Beliau mendakwa rasuah “hampir mustahil” berlaku dalam Puspakom kerana ia mengemas kini teknologi yang digunakan dalam pemeriksaan kenderaan secara berterusan untuk menjaga integritinya.

Bagaimanapun, beliau menggesa kakitangan melaporkan sebarang amalan rasuah yang dihadapi mereka.

Baru-baru ini, bekas presiden Transparency International Malaysia, Akhbar Satar mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk kembali kepada amalan JPJ menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan.

Perjanjian konsesi Puspakom dan Kementerian Pengangkutan akan berakhir 2024.

Akhbar turut menyentuh kelemahan dalam penguatkuasaan dan aduan mengenai isu integriti.

Puspakom memeriksa kira-kira 3.5 juta kenderaan setahun. Bas dan lori dikehendaki menjalani pemeriksaan mandatori setiap 2 tahun, manakala teksi setiap tahun.

Kenderaan persendirian perlu lulus pemeriksaan Puspakom sebelum hak milik bertukar tangan.