Sultan Selangor teliti usul tukar agama anak sebelah pihak, kata MB

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap kepada wartawan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di kediaman rasminya di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Sultan Selangor sedang meneliti usul rang undang-undang (RUU) penukaran agama anak sebelah pihak yang dibantah DAP negeri, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, usul itu juga akan dibincangkan dengan semua pihak, termasuk pimpinan Pakatan Harapan peringkat negeri dan pusat, sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Sultan Selangor teliti kembali pembentangan kertas tersebut. Kita juga harus rujuk Sultan Selangor kembali setelah buat konsultasi sepenuhnya dengan pemimpin parti Selangor dan persekutuan.

“Bukannya nama enakmen tukar agama, ia adalah enakmen pentadbiran Islam, ia menjurus kepada seluruh pentadbiran dan pengurusan Islam,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di kediaman rasmi menteri besar Selangor hari ini.

Amirudin sebelum ini dilaporkan bercadang meminda enakmen negeri menerusi RUU untuk membenarkan penukaran agama anak bawah umur secara sebelah pihak.

Ketika ini, remaja berusia 18 tahun ke bawah di Selangor perlu mendapatkan kebenaran ibu dan bapa untuk memeluk Islam dan pindaan itu hanya memerlukan kebenaran ibu atau bapa.

Susulan itu, DAP Selangor bertegas tidak akan menyokong RUU membenarkan penukaran agama anak bawah umur sebelah pihak di DUN Selangor.

Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, sebarang cubaan memperkenalkan RUU sedemikian bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Amirudin kemudiannya dilaporkan berkata, usul itu mungkin dibentangkan pada sidang DUN akan datang, jika ada kepentingan.

Hari ini, ditanya mengapa isu ini dibangkitkan sekarang, Amirudin berkata, beberapa pertimbangan dibuat sebelum ini, namun ia masih dibincangkan di peringkat autoriti kerajaan.

“Jadi, kita akan lihat perkara ini dengan teliti dan sekarang ini masing-masing sedang teliti. Apabila buat keputusan, barulah kita akan ambil langkah seterusnya.”

Beliau yang juga ketua PKR Selangor bersyukur Umno dan PAS menyokong kerajaan negeri dalam usul RUU penukaran agama anak sebelah pihak.

Tetapi, katanya, beliau belum mendapat sebarang maklum balas daripada 4 exco bukan Islam negeri yang menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 8 Ogos lalu dipercayai membabitkan isu sama.

Sabtu lalu, Adun Kota Kemuning, V Ganabatirau yang merupakan seorang daripada 4 exco itu berkata, beliau sanggup mengakhiri karier politiknya demi mempertahankan prinsipnya.