Takut hilang kerja punca pemberi maklumat tutup mulut, kata TI-M

Presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan.

PETALING JAYA: Takut hilang kerja merupakan antara sebab utama kenapa pekerja enggan melaporkan salah laku ketua atau majikan mereka, kata presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan.

Katanya, berdasarkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) 2010, pekerja atau mana-mana orang boleh membuat laporan kepada 7 agensi penguat kuasa.

“Jika mereka mendedahkannya kepada pihak lain, maka mereka tidak akan mendapat perlindungan pemberi maklumat di bawah WPA.

“Bagaimanapun orang ramai takut untuk membuat laporan kepada agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis kerana mereka tidak berasa selamat atau mempunyai tanggapan bahawa identiti mereka ada terdedah.”

Muhammad mencadangkan supaya saluran pelaporan diperluaskan untuk turut merangkumi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), yang dilihat lebih mesra orang ramai.

Katanya, walaupun Suhakam bukan merupakan agensi penguatkuasaan, proses tertentu boleh diwujudkan bagi menyalurkan isu yang dirujukkan kepada mereka kepada SPRM.

“Cadangan lain ialah menubuhkan pejabat Ombudsman Parlimen yang membolehkan pemberi maklumat membuat laporan secara sulit dan diberikan perlindungan,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata, tahap kesedaran mengenai WPA masih tidak memuaskan kerana orang yang bekerja masih takut untuk membuat laporan berkaitan salah laku ketua mereka.

Katanya, pemberi maklumat hanya melaporkan 124 kes antara 2015 dan April tahun ini kepada 7 agensi penguatkuasaan, iaitu polis, SPRM, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Liew berkata, orang ramai perlu dididik supaya tidak takut dan pemberi maklumat akan mendapat perlindungan di bawaj akta tersebut.

Minggu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, terdapat lompong dalam WPA yng mesti ditutup.

Tanpa menyebut lompong yang dimaksudkannya, Latheefa berkata, beliau akan membawa isu itu kepada kerajaan dengan harapan ia dapat diatasi.

Latheefa berkata, wujud 3 kategori subjek yang dihadapi oleh SPRM, iaitu informan, pengadu atau mangsa, dan pemberi maklumat.

“Kita perlu jelas. Jika seseorang mendedahkan sesuatu, ia tidak bermakna beliau pemberi maklumat,” katanya, dengan menambah bahawa pemberi maklumat adalah seseorang yang mungkin terkesan atau dihukum berikutan maklumat yang diberikan kepada SPRM.

“Sekadar mendedahkan sesuatu tidak menjadikan seseorang itu pemberi maklumat,” katanya.

Latheefa berkata, perlindungan yang pada mulanya diberikan kepada pemberi maklumat boleh ditarik balik kerana “ia bergantung pada sifat aduan yng dibuat”.

Takut tindakan di bawah OSA

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berkata, akta berkenaan “tidak cukup berkesan” justeru menjadikan orang ramai takut untuk ke depan.

Katanya, WPA menghukum pemberi maklumat yang mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Beliau berkata, pemberi maklumat tidak dibenarkan mendedahkan mana-mana dokumen yang diklasifikasikan di bawah OSA, walaupun ia bertujuan mendedahkan perbuatan rasuah, salah guna kuasa atau aktiviti jenayah.

Katanya peruntukan tersebut menghakis keberkesanan WPA.

“Individu yang melaporkan maklumat di bawah OSA berdepan denda sebanyak RM1 juta atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, OSA menjadikan kerajaan kurang bertanggugjawab. Justeru apa-apa kejanggalan dalam transaksi kerajaan dan perjanjian konsesi tidak boleh didedahkan oleh pegawai awam.

Katanya, berdasarkan pengalaman lampau, pihak berkuasa cuba menutup atau melindungi pesalah, bukannya bertindak terhadap mereka.

Solomon berkata, pekerja yang membuat aduan terhadap ketua mereka takut berdepan dengan tindak balas, diskriminasi atau tindakan disiplin di tempat kerja.

Katanya, sesetengah mereka dibuang kerja kerana membangkitkan penyimpangan yang berlaku kepada pegawai atasan atau kepada kesatuan sekerja.

“Pekerja umumnya kurang berjaya di Mahkamah Industri. Biasanya ketua akan menang.

“Justeru pekerja berada pada kedudukan yang tertekan. Ini mendorong mereka untuk tidak bertindak terhadap majikan yang melanggar undang-undang.”

Katanya pemberi maklumat mesti diberikan perlindungan undang-undang, sementara kerahsiaan mestilah dipelihara.

Beliau mengambil maklum bahawa pemberi maklumat tidak dibenarkan bercakap kepada pihak ke-3 seperti peguam, masyarakat sivil, ahli Parlimen atau Suhakam.

Katanya, Ombudsman boleh berperanan sebagai titik sehenti bagi pemberi maklumat, justeru mereka tidak perlu pergi ke agensi penguatkuasaan tertentu.